fbpx
Kemalangan yang mengorbankan dua remaja di Kilometer 8.6 Lebuh Raya Persekutuan baru-baru ini.

Satu jenayah jika jadi punca kemalangan maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MOHD. YUNUS YAKKUB,
WAKIL KOSMO! SELANGOR

JIKA disebut budaya hormat, kita dididik dan didedahkan sejak kecil lagi mengenai amalan mulia itu.

Peliknya, amalan mulia ini hilang apabila berada di jalan raya dengan perilaku sering dilihat seperti memecut di saat-saat akhir lampu isyarat bertukar merah, menggunakan lorong kecemasan, memandu melebihi had laju dan tidak memberi isyarat untuk memotong.

Tabiat lagi unik dan mendatangkan musibah apabila ada ‘makhluk’ yang bersifat memen­tingkan diri sendiri serta di bawah pengaruh alkohol dan dadah yang melakukan adegan memandu lawan arus.

Natijahnya, pasti memberikan kesan kepada pengguna lain terutama kemalangan maut ketika mana ada isteri, anak atau ke­luarga sedang menanti kepulangan mereka.

Pada 12 September lalu, dua remaja berasal dari Sabah terkorban apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan kenderaan trak pikap dipandu seorang eksekutif pemasaran di bawah pengaruh ganja di Kilometer 8.6, Lebuh Raya Persekutuan, Shah Alam.

Lelaki terbabit dituduh lapan hari kemudian mengikut Sek­syen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Bagi Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua, semua pemandu seharusnya me­rancang perjalanan dan jangan mudah mengambil jalan singkat dengan melanggar peraturan jalan raya.

“Ada kata salah masuk dan leceh hendak pusing jauh, namun tidak sedar akan akibat yang timbul daripada kelakuan itu.

“Apabila terlibat dalam kemalangan sampai ada mangsa me­ninggal dunia, ramai fikir itu bukan kes jenayah, tetapi kecelakaan.

“Itu tidak benar, jika kamu membuat kesalahan dengan se­ngaja dan menyebabkan kematian atas kesalahan kamu, itu satu jenayah. Jadi, undang-undang yang ada harus digunakan secukupnya,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berpendapat, seseorang individu mula hilang hormat apabila ma­suk di dalam sesebuah kende­raan dengan memikirkan mereka adalah ‘pelumba’.

Katanya, selain faktor pe­ngaruh dadah dan mabuk yang menyumbang kepada kejadian memandu melawan arus adalah rasa panik apabila tersalah jalan atau memasuki tol tanpa mempunyai kad prabayar atau baki tidak mencukupi.

“Sebenarnya, mereka perlu tahu masalah itu dapat diselesaikan apabila menekan butang interkom dan mengisi borang ter­tentu daripada pihak tol daripada bertindak melawan arus.

“Saya juga mencadangkan agar mewajibkan polisi separuh bayaran pampasan kepada mangsa yang terlibat dalam kejadian lawan arus atau kemalangan lain pula dibayar secara automatik oleh pihak insurans tanpa perlu ke mahkamah yang akan mengambil masa lama,” katanya.

Menurutnya, langkah tersebut dapat meringankan beban ­mangsa dan keluarganya.

Ujarnya, premium insurans juga perlu dipertingkatkan kepada pelaku yang pernah mempunyai rekod kemalangan atas kesalahan mereka.

“Ini berikutan sekiranya seorang perokok perlu membayar premium yang tinggi untuk insurans nyawa, mengapa mereka yang pernah didapati bersalah memandu atas pengaruh alkohol dan dadah tidak boleh dikenakan perkara sama,” tegasnya.-K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN