fbpx

Cerita penyakit dihidapi melalui komik web

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI individu yang pernah menghidap penyakit Atopik Dermatitis (AD), sejenis penyakit ekzema kronik dengan simptom ruam merah yang gatal pada kulit, Erica Eng, 23, tahu apa yang dialami oleh golongan senasib dengannya.

Justeru, sewaktu dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan komik web sempena kempen #UncoverLife-Dermatitis Atopik, Bukan Sekadar Masalah Kulit yang dilancarkan oleh Persatuan Dermatologi Malaysia, Erica dapat menyelami masalah dialami golongan itu dan mengekspresikannya dengan baik untuk pemahaman umum.

Biarpun penyakit tersebut dihidapi kira-kira 20 peratus individu di negara ini, namun masih ramai yang belum benar-benar faham apakah yang dimaksudkan dengan AD sehingga ada yang tidak menyedari mereka sebenarnya mempunyai masalah tersebut.

Bagaimanapun, menerusi penerangan visual dipaparkan pada komik web itu, ia secara tidak langsung memudahkan individu memahami situasi dihadapi pesakit dan berjaya menghidupkan penceritaan berdasarkan pengalaman beberapa pesakit.

Selain meningkatkan pengetahuan mengenai AD supaya individu dapat mengesan dan mendapatkan rawatan awal, Erica juga berjaya memberi gambaran mengenai kehidupan sebenar pesakit menerusi paparan kisah daripada perspektif mereka yang mengalaminya.

Bukan calang-calang, Erica mempunyai kemahiran luas dalam dunia penghasilan web komik pada usia sangat muda.

Malah, gadis yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Animasi dan Visual Efek daripada Academy of Art University di San Francisco, California, Amerika Syarikat itu pernah mendapat Einser Award.

Erica mempunyai kemahiran luas dalam dunia penghasilan web komik pada usia sangat muda

Ia adalah penganugerahan Best Webcomic 2020 untuk komik web friedricecomic.com, yang menggambarkan kehidupan sederhana di bandar melalui ‘mata’ seorang artis.

Lantaran itu, tidak hairanlah jika karya yang dihasilkannya ‘hidup’ dan dapat menyentuh jiwa pembaca untuk menyelami masalah dialami pesakit AD.

“Sejak kecil saya suka melukis dan terinspirasi dengan penceritaan digital seperti artis komik web, vlogger, penulis, pembuat filem dan pemuzik.

“Sejak itu, saya mengasah kemahiran melukis dengan mengikuti tutorial selain terlibat dengan komuniti seni dalam talian sehingga melanjutkan pengajian dalam bidang sama,” ceritanya.

Mengakui bertuah dan berbesar hati kerana diberi peluang untuk berkolaborasi menghasilkan komik web bagi memupuk kesedaran ramai tentang AD, Erica menyahut cabaran itu dengan menghasilkan komik berbekalkan pengalamannya sendiri.

Hanya mengambil masa sebulan lebih untuk melengkapkan komik tersebut, Erica berjaya menyampaikannya dengan baik.

Berkongsi kisah kepada K2, menurut Erica lagi, dia menghidapi AD ketika di usia remaja.

Setiap kali AD menyerang, dia langsung tidak dapat merasakan apaapa melainkan kegatalan kulit pada bahagian-bahagian tertentu.

ERICA melakar komik web berdasarkan pengalamannya sendiri yang mengalami AD selama beberapa tahun.

“Sebagai seorang remaja pada ketika itu, keadaan tersebut tentunya menyukarkan rutin kehidupan saya apabila terpaksa menghentikan aktiviti lasak. Ini kerana, keadaan berpeluh dan terdedah kepada cahaya matahari menyebabkan kulit jadi semakin teruk.

“Segelintir guru bersimpati dengan situasi ini, namun ada juga yang beranggapan saya malas walaupun sudah memberikan surat doktor,”
katanya.

Tambahnya lagi, sebaik menyedari AD yang dialaminya dikaitkan dengan pemakanan, gadis ini mula menghentikan pengambilan makanan
yang boleh menyebabkan alergi seperti makanan laut dan beberapa buah sitrus.

Erica mengambil masa yang lama untuk sembuh dan mengambil ubat antihistamin dan krim sapu yang ditetapkan doktor supaya kulitnya kurang sensitif dan tidak gatal.

“Harapan saya agar masyarakat membaca web komik ini tidak kira sama ada mereka mengalami masalah AD atau tidak. Ini kerana, komik web tersebut boleh dikatakan seperti permulaan untuk memahami AD.

“Menerusi pemahaman yang betul, saya amat berharap mereka dapat berkongsi fakta yang betul seterusnya membuang stigma lapuk terhadap AD,”jelasnya.

POPULAR