fbpx
PEMAKAIAN pendakap gigi palsu boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah kesihatan pada gigi untuk tempoh yang panjang. – GAMBAR HIASAN

Azab pakai pendakap gigi murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hanya ke­rana mahu kelihatan cantik dan mengikut trend semasa, dua wanita terpaksa menanggung kesakitan apabila mereka menjadi mangsa kepada pemasangan pendakap gigi palsu yang dibeli menerusi laman Instagram.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut meluahkan rasa menyesal apabila menjadi mangsa kepada iklan-iklan pemasangan pendakap gigi palsu yang dipromosikan di media sosial dengan tawaran harga murah.

Menceritakan pengalaman ngeri itu, seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurul, 25, berkata, dia tertarik dengan iklan jualan pendakap gigi murah yang diiklankan di Instagram sebelum menghubungi penjual bagi urusan pembelian dan pemasangan.

“Memang sudah lama saya berniat untuk memakai pendakap gigi kerana mahu memperbetulkan keadaan gigi yang tidak tersusun. Selain tertarik dengan harga yang ditawarkan, penjual pendakap gigi itu juga mengaku boleh membantu menyelesaikan masalah yang saya hadapi.

“Saya ditawarkan dengan harga RM280 bagi servis pemasangan pendakap gigi. Memang saya tertarik dengan harga itu kerana kebiasaannya pendakap gigi murah ini boleh mencecah sehingga RM500. Lagipun, pemasangan pendakap gigi itu boleh dilakukan di rumah saya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kete­rujaan dapat memakai pendakap gigi murah tidak berkekalan apabila giginya mula terasa sakit selepas beberapa hari.

“Selepas empat hari, saya mula rasa tidak selesa apabila gusi berdenyut-denyut. Selain itu, saya mengalami kesukaran untuk mengunyah makanan terutama sekali makanan yang keras ataupun liat.

“Pada mulanya saya fikir ia hanyalah kesan sampingan bia­sa, tetapi saya mula risau apabila beberapa batang gigi terasa longgar dan nafas saya berbau. Saya kemudian ke klinik gigi dan dinasihatkan untuk mencabut pendakap gigi itu,” ujarnya.

Katanya, hasil pemeriksaan doktor gigi mendapati terdapat beberapa batang gigi telah beralih dari kedudukan asal hingga menyebabkan gigitannya tidak sekata.

“Gusi saya juga membengkak akibat pemasangan dawai pendakap gigi yang salah,” katanya.

Akibat daripada masalah itu, mangsa terpaksa berhabis duit untuk menjalani rawatan gigi di klinik bertauliah.

Sementara itu, seorang lagi mangsa dikenali Ayka, 24, berkata, dia tidak menyangka niatnya memakai pendakap gigi palsu kerana mahu mengikut trend te­lah memberi pengalaman buruk buat dirinya.

“Saya tahu isu mengenai pendakap gigi palsu, tetapi selama ini hanya terbaca pendakap gigi yang betul-betul ditampal pada gigi menggunakan gam. Satu hari saya ternampak iklan di Ins­tagram mengenai pendakap gigi yang boleh ditanggal sendiri atau lebih dikenali sebagai ‘click braces’.

“Saya sangka pendakap gigi jenis itu tidak berisiko, namun sangkaan saya meleset sama sekali apabila gigi saya mula rosak selepas beberapa bulan memakai pendakap gigi itu,” katanya.

Ayka berkata, semasa membeli pendakap gigi itu, penjual ada memaklumkan bahawa peralatan itu tidak boleh dipakai semasa makan ataupun waktu tidur.

“Bagaimanapun, beberapa kali saya terlupa hendak berbuat demikian dan akibat daripada itu, sedikit demi sedikit gigi saya mula bertukar warna seakan-akan menjadi karat dan sedikit kehitaman.

“Sebaik menyedari keadaan itu, saya terus berhenti memakai pendakap gigi itu.

“Bagaimanapun, agak terlambat kerana sehingga kini kesan kehitam-hitaman itu sukar dihilangkan. Doktor gigi maklumkan mungkin gigi saya telah rosak akibat daripada bahan yang digunakan untuk membuat dawai pendakap gigi tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, pemakaian pendakap gigi secara haram me­lalui pakar yang tidak bertauliah boleh menyebabkan seseorang individu itu berisiko terkena ­penyakit radang gusi.

Bekas Presiden Persatuan Doktor Pergigian Swasta Malaysia, Dr. V. Nedunchelian berkata, individu tersebut juga berisiko menghidap masalah-masalah lain termasuk kehilangan tulang rahang.

“Kehilangan tulang rahang boleh menyebabkan gigi mudah goyang dan tanggal. Kesengsaraan ini akan berlaku dalam tempoh yang panjang dan ramai pesakit yang datang mengadu tidak sanggup lagi menahan ke­sakitan itu,” katanya.

Menurutnya, proses pema­kaian pendakap gigi yang dilakukan secara haram biasanya tidak melalui proses penyahkuman.

“Peralatan untuk memasang pendakap gigi tidak disteril, berbeza dengan klinik bertauliah apabila kesemua peralatan yang diguna akan disteril sebelum dan juga selepas digunakan.

“Pihak terbabit juga tidak menggunakan sarung tangan sebagai langkah keselamatan. Tambahan pula, ketika mengurus pe­langgan yang ramai pada satu-satu masa, bakteria yang terdapat pada pesakit boleh berjangkit kepada pesakit lain.

“Seseorang itu berisiko ditimpa penyakit bersilang yang boleh dikaitkan dengan HIV sekiranya pesakit itu mempunyai HIV atau hepatitis B,” ujarnya.

Beliau yang memiliki pengalaman hampir 30 tahun dalam bidang pergigian menjelaskan, pemakaian pendakap gigi ketika ini lebih cenderung kepada golongan wanita.

“Golongan wanita sangat teruja untuk kelihatan cantik meskipun menyedari kesan buruk pemakaian pendakap gigi palsu.

“Kesan pemakaian pendakap palsu amat menakutkan kerana ia tidak menunjukkan perubahan yang drastik. Malah, makanan yang dimakan juga masih terselit di celah-celah gigi,” jelasnya.

Mengulas berkenaan stigma masyarakat bahawa pemakaian pendakap gigi boleh menyebabkan si pemakai mampu menurunkan berat badan, ujarnya, itu hanyalah stigma semata-mata.

“Saya akui kesukaran untuk makan boleh mendorong penurunan berat badan, namun ia hanya berlaku dalam tempoh awal sahaja.

“Namun, niat tersebut adalah salah memandangkan rawatan pendakap gigi adalah untuk membaiki struktur dan susunan gigi,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN