fbpx

Lebih mudah vaksinasi orang muda daripada ‘remaja purba’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INDIVIDU lengkap vaksinasi peroleh banyak kelonggaran termasuk dine-in dan rentas negeri. Gambar hiasan

Pada Isnin lalu, kerajaan melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang menyasarkan remaja berusia 12 hingga 17 tahun untuk diberikan vaksin sebagai persediaan menjelang pembukaan sekolah.

Apabila Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin mengumumkan sekolah akan dibuka pada bulan depan, ada ibu bapa yang sudah mula gelisah, mereka bimbang kemungkinan berlakunya kluster sekolah.

Program itu sebenarnya dimulakan lebih awal di Sarawak pada 8 September diikuti Labuan tiga hari kemudian seterusnya di Sabah pada 16 September.

Terdapat kira-kira 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Malaysia dan kerajaan menyasarkan 80 peratus daripada jumlah itu akan menerima dos lengkap pada hujung tahun ini.

Bagi penduduk dewasa pula, seramai 18.9 juta atau 81 peratus daripada populasi kumpulan itu sudah melengkapkan dua dos vaksin setakat kelmarin, mengikut laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Sebanyak 93.3 peratus pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Satu berita yang cukup melegakan, lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lalu memaklumkan aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus.

Maka ramailah yang berkongsi berita ini dengan mengajak ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Sudah tujuh bulan program vaksinasi berjalan sejak Februari lalu, namun masih ada yang belum bertindak.

Mereka ini merupakan kumpulan atas pagar. Golongan ini mendakwa mereka bukan antivaksin, sebaliknya lebih kepada sikap ‘tunggu dan lihat’.

Penulis tidak pasti apa yang mahu dicongak walaupun angka kes harian menunjukkan pengurangan terutama di Lembah Klang yang menurun begitu ketara di wad biasa mahupun unit rawatan rapi, mengikut laporan COVIDNOW.

Berbanding PICK, PICK Remaja untuk kumpulan belasan tahun ini dilihat lebih cepat ‘bertindak’.

Setakat 21 September lalu, seramai 410,489 remaja telah menerima suntikan dos pertama dengan Sabah merekodkan bilangan tertinggi. Nampaknya lebih mudah mengajak remaja divaksin berbanding individu dewasa.

Malah tidak banyak drama atau teori dimomokkan pada PICK Remaja. Penulis rasa tidak mustahil sasaran kumpulan remaja dapat dicapai lebih awal sekiranya proses agihan bekalan vaksin Pfizer dibuat secara teratur.

Tidak kira dewasa atau remaja, semakin ramai yang mengambil vaksin Covid-19 maka lebih cepat kita mencapai imuniti kelompok.

Sama-sama kita mainkan peranan. Bukan bergantung kepada frontliners semata-mata.

Kasihan mereka, selain menjalankan tugas hakiki, mereka terpaksa melakukan overtime berkongsi maklumat mengenai vaksin dan menangkis tohmahan antivaksin.

Lagi ramai yang bertindak, maka lebih cepat kita dapat merentas negeri. Ramai yang sudah tidak sabar pulang ke kampung berjumpa ibu dan ayah. Besar harapan rakyat Malaysia agar kerajaan mengotakan janji yang satu ini.

Apa-apa pun kita jangan leka, Covid-19 masih belum lenyap. Kita belum menang, namun pasti akan menang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI