fbpx

Sensasi karya miniatur barangan kegunaan harian dan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA dua karya Tatsuya Tanaka yang meraih perhatian ramai.

HANYA dengan mengguna pakai barangan kegunaan seharian yang berada di sekeliling kita seperti kasut, berus, alat tulis, tisu tandas, penyepit baju dan pelitup muka, seorang jurugambar dari Jepun Tatsuya Tanaka, 40, berjaya menghasilkan karya miniatur hebat yang menggambarkan kehidupan.

Tanaka yang dikategorikan sebagai jurugambar miniatur pertama dunia itu juga cukup kreatif apabila menggunakan makanan seperti roti, kek dan sushi selain dihiasi objek-objek kecil manusia untuk menggambarkan sketsa kehidupan.

Senario kehidupan yang dihasilkan Tanaka menerusi miniatur tersebut kemudian dirakam menggunakan lensa kameranya sehingga ia kelihatan sangat dramatik walaupun menggunakan bahan-bahan ringkas.

Imaginasinya begitu mengagumkan seolah-olah mampu membayangkan sesuatu yang lain kepada setiap barangan yang dilihat.

TANAKA mahu terus berkarya demi para peminatnya di seluruh dunia.

Sebagai contoh, Tanaka menghasilkan rimbunan hutan menghijau dengan menggunakan sayuran brokoli, sampan daripada cili, planet daripada aiskrim dan kolam renang daripada pelitup muka.

“Brokoli dan daun pasli digunakan untuk menghasilkan hutan atau daun-daun yang kelihatan seperti terapung, manakala untuk miniatur yang lain pula ia boleh dijadikan perahu kecil.

“Saya mahu membawa orang ramai berfikir dan ia diungkapkan menerusi bidikan gambar miniatur itu,” katanya yang mengadakan pameran di Muzium Mizuno, Jepun baru-baru ini sempena ulang tahun ke-10 perjalanan seni miniatur tersebut.

Sejak sedekad lalu, Tanaka telah menghasilkan karya miniatur yang diberi nama Miniature Calendar dan dia pernah mempamerkan karya-karya tersebut di beberapa negara seperti Taiwan, Hong Kong dan Jepun.

Membina dan mengumpul objek-objek kecil miniatur merupakan hobi Tanaka yang kini membawa kepada popularitinya sehingga mempunyai 3.1 juta orang pengikut di Instagram miliknya iaitu tanaka_tatsuya.

“Semua orang mempercayai kemahiran saya dan menghormati pendapat saya, maka saya boleh mendedikasikan diri untuk mencipta rekaan miniatur dengan lebih baik.

“Bagi mencari barangan untuk membuat karya miniatur, saya meluangkan masa mengunjungi beberapa kedai dan meninjau bahan-bahan yang diperlukan bagi merealisasikan idea yang telah terbayang di benak fikirannya,” tuturnya yang merupakan pengarah seni dan jurugambar.

RUMAH-RUMAH yang terbentuk daripada dadu dan penyepit fail.

Ramai yang menganggap anak kelahiran Kumamoto, Jepun itu mempunyai sudut pandang yang sangat unik ketika dia memerhati dunia sekelilingnya.

Apabila ditanya bagaimana dia mendapat idea tersebut, Tanaka berkata, ‘tabiat dan latihan’.

“Sebagai contoh, orang yang pandai memasak boleh membayangkan hidangan yang bakal disajikan hanya dengan melihat bahan-bahan di dalam peti sejuk. Persepsi itu sama ketika kita bekerja sebagai jurugambar miniatur.

“Saya menghasilkan pemandangan biasa untuk memudahkan orang ramai memahaminya tanpa mengira umur mahupun lokasi mereka berada di seluruh dunia,” ulasnya.

Tambah lelaki yang sangat merendah diri itu, karyanya cukup sederhana sehinggakan pelajar sekolah rendah pun mudah memahaminya.

Tanaka bahkan mengakui sering dibantu oleh anak-anaknya dan meminta nasihat mereka untuk menghasilkan karya miniatur tersebut.

“Saya akan meminta pandangan dari kaca mata anak-anak kerana mereka sangat jujur sehingga penonton dapat menjiwai karya itu dengan penuh perasaan.

“Sejak 10 tahun yang lalu, saya telah menghasilkan lebih 50,000 koleksi miniatur,” jelasnya yang turut terlibat membuat lelongan di internet.

Pada peringkat awal, koleksi itu dimuatkan di dalam buku seni fotografi dan di laman web tetapi namanya mula melonjak naik apabila membuat hantaran di media sosial Instagram.

Tanaka yang pernah bekerja di sebuah syarikat reka bentuk dan bertanggungjawab merancang iklan majalah itu tidak syok sendiri dalam menghasilkan karya tersebut sebaliknya dia sering mengambil pandangan orang ramai di ruangan komen.

KREATIVITI Tanaka terserlah apabila mampu menghasilkan karya-karya menarik sebegini menggunakan sushi, kobis bunga dan lain-lain.

Walaupun bidikan gambarnya nampak ringkas, namun dia mengambil masa selama lima jam bagi merakam dan menghasilkan video atau filem pendek berkaitan miniatur itu.

“Motivasi saya sekarang ialah sokongan daripada para peminat yang tidak pernah putus.

“Keterujaan orang ramai untuk melihat hasil karya ini telah mendorong saya untuk menghasilkan ciptaan yang lebih baik,” kata graduan jurusan seni daripada Universiti Kagoshima itu.

Karya miniatur yang berunsurkan ikonik Jepun seperti ninja, samurai, bunga sakura dan sushi juga cukup popular dalam kalangan peminat.

KARYA menarik menggambarkan perlumbaan dayung perahu.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan seni miniatur itu, Tanaka menganggap brokoli sebagai titik permulaannya.

“Ketika kali pertama membina karya miniatur ini, saya menggunakan brokoli dan menyusunnya seperti hutan.

“Setelah itu saya menggunakan bahan-bahan lain sebagai metafora untuk menghasilkan pemandangan khayalan,” tuturnya.

Walaupun Tanaka tidak menyukai sayur brokoli tetapi sejak itu dia mula memakannya.

SEORANG angkasawan kelihatan terawang-awangan di angkasa dengan latar aiskrim berwarna biru persis Bumi.

Brokoli juga menjadi satu-satunya sayur yang dimakan oleh anak-anak Tanaka selepas memerhatikan bapa mereka berbuat demikian.

Pada tahun 2017, Tanaka telah mempamerkan karyanya buat pertama kali di Chiang Kai-shek Memorial Hall, Taiwan.

“Saya terkejut, rasa sangat gembira dan rasa berbesar hati kerana penganjur memilih seseorang seperti saya yang tidak pernah memenangi anugerah besar untuk menyertai pameran tersebut.

“Saya masih ingat reaksi luar biasa orang-orang Taiwan apabila melihat karya ini dan mereka teruja merakam swafoto di samping miniatur-miniatur itu serta menyiarkannya di internet,” ceritanya sambil melemparkan senyuman mesra.

MAKANAN yang dikukus membentuk sauna.

Tanaka berkata, sebilangan orang Jepun hanya merakam gambar di pameran itu dan perkongsian mereka tidak sebanyak orang Taiwan.

Perbezaan budaya itulah salah satu perkara yang membuatkan dia sangat gemar membuat pameran di luar negara.

Tanaka berharap dapat membuat pameran miniatur berskala besar di negara-negara Eropah pada masa akan datang. Dia juga merancang mempamerkan karya-karya itu di tempat-tempat yang orang ramai mudah untuk kunjungi seperti taman.

“Pasti lebih menyeronokkan jika orang ramai dapat menikmati seni di mana sahaja tanpa perlu mengunjungi muzium.

“Semoga karya ini memberi peluang kepada anda melihat sesuatu yang indah di sekeliling anda dan merubah cara pandang serta sedar bahawa dunia ini sebenarnya dipenuhi dengan hal-hal yang menarik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI