fbpx
Gambar hiasan

Harapan balik kampung makin cerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Harapan orang ramai untuk melihat sempadan negeri dibuka untuk tujuan rentas negeri semakin cerah apabila angka positif Covid-19 hari ini terus mencatatkan trend penurunan.

Menerusi perkongsian di laman Facebook Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, jumlah kes positif yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 14,345.

Daripada jumlah itu, Sarawak kekal mendahului negeri lain apabila mencatatkan 3,611 kes diikuti Johor (1,598) dan Selangor (1,365).

Menariknya, Wilayah Persekutuan (WP) Labuan tidak mencatatkan sebarang kes hari ini, manakala WP Putrajaya menduduki tempat kedua negeri dengan jumlah kes paling sedikit iaitu hanya 11 kes diikuti Perlis sebanyak 51 kes.

Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna laman Facebook gembira dengan trend penurunan itu dan mereka seolah-olah tidak sabar untuk menunggu pengumuman pembukaan semula sempadan negeri.

“Alhamdulillah, boleh dah buka sempadan negeri,” tulis Abe Yusmey.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi netizen dikenali sebagai Ijam Perantau.

“Kalau trend ini berterusan, sebulan dua lagi bolehlah kita merasai suasana balik kampung, sudah dua tahun tak jumpa mak ayah di kampung, rindunya hanya Allah sahaja yang tahu,”tulisnya.

Berkongsi perasaan sama adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Ayu Ikarahayu.

“Dah boleh apply (pohon) cuti untuk balik kampung lepas ni, dah dua tahun tak balik, mahu cuti panjang bila kerajaan benarkan rentas negeri,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan kerajaan akan mengumumkan kebenaran rentas negeri dalam waktu terdekat sebagai langkah memulihkan industri pelancongan negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan pelbagai pihak untuk tujuan itu.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR