fbpx

‘Tidak gentar hadapi musuh kebal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Salleh semasa berkhidmat dalam PPH.

KOTA TINGGI – Setiap kali tiba­nya Hari Malaysia, pesara polis, Sub Inspektor Mohd. Salleh Yunos pastinya akan terkenang detik-detik ketika operasi berdepan tentera Indonesia yang terkepung setelah menyusup ke Pengerang dekat sini pada 1965.

Peristiwa tersebut berlaku semasa era Konfrontasi Malaysia-Indonesia yang mencetuskan konflik bersenjata.

Mohd. Salleh yang ketika itu bertugas di Batalion Kedua Pasukan Polis Hutan (PPH) Kem Hulu Kinta, Perak dihantar ke Singapura untuk diseberangkan ke Pengerang dengan feri dari Changi.

Kata veteran PPH berusia 87 tahun ini, kedudukan Pengerang yang merupakan pekan terpencil di selatan Johor agak jauh berbanding menggunakan jalan laut yang dekat dengan Singapura.

“Semasa Konfrontasi meletus, PPH dan tentera masih terlibat dalam operasi di sempadan Malaysia-Thailand kerana ancaman komunis masih ada ketika itu.

Mohd. Salleh menunjukkan gambarnya semasa berkhidmat dalam PPH.

“Apabila menerima arahan untuk ke Penggerang, kami memang tidak ragu-ragu dan tak takut untuk berhadapan dengan tentera musuh walaupun ada cerita konon­nya mereka ini kebal dan tidak lut ditembak,” ujarnya.

Mohd. Salleh yang memasuki polis pada tahun 1952 berkata, sebaik tiba, PPH ditugaskan membantu tentera untuk mengepung kedudukan musuh dan berjaga-jaga sekiranya mereka melancarkan serangan.

Dia yang kini menetap di Taman Kota Jaya di sini menambah, setelah dua minggu dikepung, tentera musuh yang jumlahnya kira-kira 30 orang akhirnya menyerah diri dalam keadaan tidak bermaya setelah kehabisan makanan.

“Tentera musuh yang dikatakan kebal tidak mampu melawan kerana kelaparan. Mereka silap percaturan kerana menyangka dapat sokongan penduduk tempatan terutama dalam kalangan orang Jawa.

“Lebih sebulan kami berada di Pengerang mengawal kawasan pantai sebelum kembali semula ke Perak untuk operasi lain pula,” ujarnya yang bersara pada tahun 1990 di Batalion 9 PPH Kem Bakri, Muar.

Dua tahun lalu, Mohd. Salleh sepatutnya menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Johor Baharu, namun beliau tidak dapat hadir disebabkan keuzuran.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI