fbpx
MSM menjangkakan pembukaan ekonomi secara beransur-ansur bakal meningkatkan jualan berasaskan gula pada masa depan.

Permintaan gula di pasaran domestik semakin pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Permintaan gula bagi pasaran domestik di­lihat beransur pulih tahun ini, sei­ring pembukaan semula lebih banyak ekonomi dibenarkan beroperasi sebagai langkah kawalan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM), Syed Feizal Syed Mohammad berkata, permintaan gula domestik telah meningkat sekitar lima hingga 10 peratus untuk separuh tahun pertama 2021 dan ia diunjurkan bertumbuh pada julat hampir sama pada separuh kedua.

“Tidak ada lonjakan permintaan tetapi pemulihan dilihat berlaku secara beransur-ansur.

“Penggunaan gula negara di­jangka kembali kepada paras sebelum ini, iaitu sekitar 1.5 juta tan setahun pada tahun hadapan, setelah berkurang kepada 1.2 hingga 1.3 juta tan setahun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Harga gula mentah pula diunjurkan kekal tinggi dan mungkin hanya kembali ke paras normal menjelang akhir 2022.

“Ini disebabkan kekurangan bekalan akibat cabaran cuaca di Brazil, namun kami telah mengambil langkah lindung nilai sewajar­nya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyu­arat Agung Luar Biasa (EGM) MSM yang diadakan secara maya semalam.

Dalam EGM semalam, peme­gang saham MSM meluluskan penjualan keseluruhan kepen­tingan ekuiti di MSM Perlis Sdn. Bhd. (MSM Perlis), anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya MSM kepada FGV Integrated Far­ming Holdings Sdn. Bhd. (FGVIF).

Pertimbangan penjualan awal itu akan melibatkan sebanyak RM 175 juta.

Ia merangkumi 11 bidang ta­nah pertanian dan perindustrian, tertakluk kepada pelarasan mo­dal kerja bersih dan hutang bersih setelah selesai urusan pelupusan seperti yang dicadang­kan.

Pelupusan keseluruhan ke­pentingan ekuiti di MSM Perlis dianggarkan memberikan hasil sebanyak RM91.6 juta.

Menurut Syed Feizal, pihak­nya merancang untuk melupuskan beberapa lagi aset yang kurang strategik.
Antaranya melibatkan kilang, mesin dan tanah perindustrian di Pulau Indah, Klang serta Johor, namun masih me­nunggu tawaran terbaik.

Mengulas mengenai kemungkinan kajian semula cukai gula, Syed Feizal menjelaskan perkara itu ada disebut oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini, namun beliau berpandangan sebarang perubahan tidak akan memberi impak ketara kepada Kumpulan.

“Cukai ini hanya melibatkan sektor minuman barangan pengguna cepat laris dan setelah penilaian dibuat, ia ha­nya melibatkan kurang 12 peratus daripada asas pelanggan kami,” katanya.

POPULAR