fbpx

Jadikan kekurangan diri pembakar semangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK diminta untuk dilahirkan sebagai seorang insan istimewa, pemilik nama Siti Nurhikmah Razlan tetap reda dan menjadikan ketentuan takdir Yang Maha Esa itu sebagai pembakar semangat buat dirinya untuk terus maju dalam kehidupan.

Dia dilahirkan buta pada sebelah matanya. Di sebalik kekurangan itu, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Sistem Pejabat daripada Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor ini mempunyai keyakinan diri yang sangat tinggi apabila tampil ke hadapan menjadi ‘suara’ bagi membela nasib rakan-rakan istimewanya sepanjang melanjutkan pengajian di menara gading.

Berpeluang mendekati anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini, kesempatan tersebut diambil bagi membolehkan iGen berkongsi semangat dan keyakinan yang ada dalam dirinya kepada pembaca terutamanya dalam kalangan mahasiswa.

“Saya memang dilahirkan dengan buta pada sebelah mata.

“Tetapi sejak kecil saya dibesarkan sama seperti kanak-kanak normal lain. Ibu dan ayah menghantar saya ke sekolah harian biasa dan bukannya sekolah berkeperluan khas bagi membolehkan saya bergaul dengan rakan-rakan seperti biasa,” katanya.

Kekurangan diri menjadikan gadis ini lebih tabah dalam mengharungi perjalanan hidup.

Kongsi Siti Nurhikmah, sejak berusia tiga bulan lagi, dia sering berulang alik ke hospital bagi menjalani rawatan membetulkan matanya.

Pada waktu itu, hospital boleh diumpamakan bagai rumah keduanya. Bagaimanapun, ketika darjah enam, gadis itu mengambil keputusan untuk menghentikan rawatan.

“Saya mahu mensyukuri apa yang ada. Pada waktu itu, saya fikir sampai bila saya mahu betulkan kekurangan ini. Lebih baik saya baiki apa yang ada kerana dari situ kita akan jadi lebih bersyukur.

“Dahulu, saya takut untuk kedepan kerana bimbang orang cakap buruk dan sebagainya. Tetapi saya fikir sampai bila saya mahu jadi begini.

“Rugi rasanya jika tidak gunakan peluang yang ada dengan baik. Setiap kali berdepan dengan kata-kata negatif, saya akan menukarkannya menjadi positif walaupun ia sukar,” luahnya.

Ternyata detik tersebut merubah segalanya. Daripada seorang gadis pemalu, Siti Nurhikmah menjadi seorang yang suka bergaul dengan rakan-rakan.

Lantaran itu, sewaktu melanjutkan pengajian di menara gading, gadis ini merebut peluang yang ada dalam persatuan sehingga dia terpilih untuk memegang jawatan Exco Aduan dan Kebajikan di kolej kediamannya.

“Selalunya, golongan seperti kami kurang diberi perhatian kerana kami hanya minoriti.

“Sepanjang bergelar pelajar, saya dapati tiada yang sudi menyuarakan hak-hal berkaitan pelajar istimewa.

“Jadi, saya mahu mewakili mereka menyuarakan pendapat atau masalahmasalah yang sering dihadapi,” katanya.

Tidak hanya tertumpu kepada insan istimewa, tanggungjawab yang diberikan turut digunakan Siti Nurhikmah bagi mendekati pelajar-pelajar lain dan menyelami setiap masalah mereka.

Akuinya, keluarga menjadi sistem sokongan kuat kepadanya sehingga dia mampu berdiri seperti hari ini, dia bersyukur kerana sentiasa diberi
dorongan penuh sejak kecil lagi.

“Masalah kurang keyakinan diri itu normal sebagai manusia. Jika individu yang sempurna pun ada masalah sama, apatah lagi individu seperti saya.

“Jadi, apa yang perlu dilakukan adalah sentiasa ingat bahawa kita telah lakukan yang terbaik.

“Bagi saya, rasa kurang berkeyakinan itu bagus kerana akan membuatkan individu lebih bersemangat.

“Disebabkan itu, jika ada peluang sahaja, gunakanlah dengan sebaik-baiknya kerana kita tidak tahu bila lagi peluang tersebut akan datang,”
tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI