fbpx

NAFAS umum dividen 8% untuk DPK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ronald (dua dari kiri) bersama Ahmad Hamzah (dua dari kanan) dan Nik Muhammad Zawawi (kanan) menunjukkan agihan dividen DPK di Wisma Tani, Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengumumkan agihan kadar dividen lapan peratus bagi Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 2020.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, dividen itu akan diagihkan kepada 5,323 entiti pelabur termasuk ahli-ahli peladang yang berdaftar.

Beliau berkata, DPK mencatatkan keuntungan sebanyak RM9.05 juta tahun lalu dengan keseluruhan nilai agihan dividen adalah berjumlah RM7.6 juta.

“Buat masa ini, dana terkumpul DPK berjumlah RM220 juta yang dilaburkan dalam pelbagai projek pelaburan berpotensi tinggi dalam negara.

“Sejak lima tahun lalu, DPK memberi pulangan dividen kompetitif dengan kadar purata 8.8 peratus selain margin keuntungan melebihi 80 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan agihan dividen DPK semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (kanan), Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Ali Shikh Ahmad (tengah).

Ronald menjelaskan, NAFAS akan terus fokus kepada strategi pembiayaan dan kepelbagaian portfolio perbendaharaan bagi memberikan daya tahan dan pulangan yang memberangsangkan kepada ahli-ahlinya biarpun berdepan kesukaran akibat pandemik Covid-19.

Beliau juga berharap prestasi itu akan dapat diteruskan pada tahun akan datang sekali gus mendorong lebih ramai pelabur menyertai dana pelaburan itu.

“Kita ada satu juta ahli pertubuhan peladang di seluruh negara.

“Kita berharap prestasi DPK akan menjadi faktor penggalak bagi peladang melabur dalam dana tersebut.

“Pertubuhan peladang juga digalakkan menambah jumlah pelaburan sedia ada yang dapat memberi manfaat pulangan terbaik,” kata beliau.

Ronald menerangkan, MAFI akui setiap dana pelaburan mengalami penyusutan akibat pandemik namun, kadar agihan purata lapan peratus berjaya dikekalkan tahun lalu.

Tujuan utama DPK adalah untuk menyediakan perkhidmatan kewangan kompetitif serta menggembleng dana untuk diagihkan dalam bentuk pembiayaan dan pelaburan usaha sama kepada ahli serta rangkaian Pertubuhan Peladang.

Ia melibatkan NAFAS, 14 Pertubuhan Peladang Negeri, 279 Pertubuhan Peladang Kawasan dan hampir satu juta ahli peladang berdaftar di seluruh negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI