fbpx
Gambar hiasan

‘Belum nampak cahaya dihujung terowong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lebih setahun berlalu sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, namun masih belum kelihatan cahaya di hujung terowong.

Pelbagai strategi dilaksanakan dan disaran agensi-agensi kesihatan terutamanya Pertubuhan Kesihatan Sedunia waima perintah berkurung, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal masih menyaksikan koronavirus atau lebih tepat, varian Delta, terus menular.

Janji situasi akan kembali seperti sediakala selepas program vaksinasi mencapai kadar imuniti kelompok antara 70 hingga 80 peratus populasi sesebuah negara juga bukan lagi realiti, sebaliknya slogan baharu sekarang adalah vaksinasi dapat mencegah kemasukan ke hospital, gejala serius dan kematian akibat koronavirus.

Ketika negara-negara di benua miskin terus bergelut untuk mendapatkan bekalan vaksin, negara-negara kaya sudah ada yang memulakan program vaksinasi ketiga, malah sesetengah negara sudah merancang suntikan dos keempat.

Slogan ‘Hidup Bersama Pandemik’ yang sebelum ini menjadi pendekatan kebanyakan negara dunia juga kini goyah malah, antara perintis strategi tersebut iaitu Singapura mempertimbang untuk melaksanakan semula perintah berkurung koronavirus akibat penularan varian Delta yang semakin sukar dikawal walaupun vaksinasi di pulau itu mencapai kadar imuniti kelompok.

Strategi “Sifar Covid” melibatkan perintah berkurung yang ketat seperti dilaksanakan di China dan New Zealand pula membuahkan hasil walaupun dikritik pakar-pakar Barat sebagai tidak realistik untuk jangka masa panjang.

Kempen vaksinasi juga tidak begitu realistik sebagai jalan penyelesaian akibat ciri mutasi koronavirus terutamanya varian Delta. Apakah setiap kali wujud varian baharu, dunia perlu melaksanakan kempen imunisasi global. Umum tahu berapa lama masa diperlukan untuk menyuntik populasi dunia yang kini berjumlah hampir lapan bilion orang.

Kempen vaskinasi global yang bermula lebih setahun kalau tidak silap penulis, baru mencapai kadar lebih 50 peratus sedangkan virus bermutasi jauh lebih cepat daripada vaksin.

Strategi ketiga iaitu pembangunan vaksin universal yang mampu memberi perlindungan terhadap semua varian koronavirus juga belum terjamin, meskipun menjadi harapan seluruh dunia sekarang.

Walaupun ujian klinikal menunjukkan keputusan memberangsangkan, masa agak panjang diperlukan untuk menghasilkan vaksin kerana penghasilannya membabitkan pelbagai faktor terutama keselamatan.

Satu lagi strategi yang perkembangannya kurang mendapat liputan adalah pembangunan ubat Covid-19. Apa yang diketahui setakat ini adalah beberapa jenis ubat antivirus tersebut berjaya mengelakkan gejala serius dalam kalangan mereka yang dijangkiti Covid-19, namun hasilnya masih di peringkat ujian dan belum jelas sama ada keputusan serupa terhadap varian Delta.

Pembangunan ubat-ubatan tersebut juga akan memakan masa. Apa yang berlaku sekarang selepas lebih setahun pandemik menyerang umpama wal hasil balik asal.

Keajaiban yang ditunggu-tunggu diharap akan menjelma, namun apa yang pasti dan realitinya adalah kita terpaksa mengharungi detik sukar ini yang mengubah rutin kehidupan kita untuk suatu tempoh mungkin beberapa bulan atau beberapa tahun lagi.

BERITA BERKAITAN