BENTONG – Keindahan kawasan tanah tinggi di Janda Baik dan Bukit Tinggi di sini terdedah kepada ancaman tanah runtuh yang berpunca daripada gempa bumi.
Kejadian tanah runtuh di kedua-dua kawasan itu boleh berulang susulan pengaktifan semula garis sesar Bukit Tinggi sejak 2007.
Pengaktifan semula garis sesar selepas ribuan tahun ia ‘mati’ menyaksikan 30 kejadian gempa bumi berlaku di kawasan itu bermula pada tahun 2007 dengan gegaran terkuat direkodkan adalah 4.2 pada skala Richter.
Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaapar berkata, gempa bumi di Janda Baik dan Bukit Tinggi boleh berlaku memandangkan kawasan itu terletak dalam garis sesar Bukit Tinggi yang mengunjur dari Kuala Pilah-Kuala Lumpurd-Bukit Tinggi.
“Kita baharu buat rekod kejadian gempa bumi dan kita tidak pasti dalam tempoh 1,000 tahun sama ada pernah berlaku gegaran lebih besar atau tidak kerana data yang kita ada setakat ini iaitu 4.2 pada skala Richter.
“Sekiranya berlaku gempa bumi di kawasan Bukit Tinggi dan Janda Baik dengan kadar bawah 5 pada skala Ricter, bangunan memang tidak ada masalah jika dibina mengikut standard ditetapkan, tetapi saya risaukan adalah tanah runtuh di kawasan cerun kerana gegaran boleh melonggarkan tanah,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, setiap kali berlaku gegaran termasuk di Sumatera, Indonesia akibat gempa bumi selain pergerakan kawasan sesaran yang lain, maka ia boleh menyebabkan tercetusnya gempa bumi di kawasan Janda Baik dan juga Bukit Tinggi.
“Pelbagai kajian dilakukan oleh pihak terbabit khususnya Jabatan Mineral dan Geosains, namun masih belum dapat merekodkan sejak bila gempa bumi mula berlaku dan tempoh kejadian itu berulang kembali,” katanya.
Untuk rekod, gempa bumi adalah pergerakan mengejut permukaan bumi disebabkan oleh pergerakan batuan di sepanjang garis sesar atau dia atas persempadanan plat tektonik.
Gempa bumi kebiasaannya berlaku di negara yang terletak dalam lingkaran Api Pasifik.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, walaupun Malaysia berada di luar lingkaran api Pasifik, negara ini turut merekodkan kejadian gempa bumi yang menyaksikan sebanyak 30 gegaran berlaku di Janda Baik dan Bukit Tinggi.
Katanya, aktiviti seismik di Pahang dikesan sejak 30 November 2007 dengan magnitud paling tinggi direkodkan pada 4.2 skala Richter di Bukit Tinggi, Bentong pada 7 Oktober 2009.
“Sehingga kini, Pahang merekodkan 31 gempa bumi lemah (magnitud kurang daripada 5.0 pada skala richter) yang berlaku di Bukit Tinggi dan satu di Jerantut.
“Kejadian gempa bumi yang berlaku di sekitar Bukit Tinggi merupakan proses penstabilan semula struktur batu batan di sekitar zon garis sesar Bukit Tinggi,” katanya.
Menurutnya, punca gegaran tersebut bukan disebabkan oleh lingkaran gunung berapi, sebaliknya disebabkan garis sesar Bukit Tinggi.
Katanya, garis sesar itu dikelaskan sebagai tidak aktif kerana tidak ada kejadian gempa bumi yang dilaporkan berlaku di sekitar garis sesar tersebut sejak ribuan tahun lalu.
“Bagaimanapun, kejadian gempa bumi berlaku disebabkan pengaktifan semula sesaran akibat aktiviti tektonik di Sumatera, Indonesia,” katanya.














