PETALING JAYA – Penyanyi terkenal Indonesia, Ari Lasso mengejutkan peminatnya apabila mendedahkan dia menghidap kanser limfoma tahap dua.
Pendedahan tersebut dibuat penyanyi berusia 48 tahun itu menerusi podcast bersama Deddy Corbuzier di YouTube semalam.
“Ya, saya pesakit kanser limfoma tahap 2. Doktor memberitahu kanser yang menyerang adalah jenis yang ganas, tetapi masih boleh dirawat,” ujar Ari.
Bekas vokalis kumpulan Dewa 19 itu menerangkan, kanser yang dihidapinya adalah jenis Diffuse large B-cell lymphoma (DLBCL).
Kanser tersebut pada mulanya menyerang bahagian limpanya dan tumor tersebut telah dibuang menerusi pembedahan pada 20 Ogos lalu.
“Semuanya bermula dengan rasa sakit perut melampau yang tidak pernah saya rasai. Sakitnya menembusi sehingga ke bahagian pinggang dan punggung.
“Saya memang tidak menyangka kanser kerana pada mulanya doktor menyangka sakit yang dialami adalah jangkitan disebabkan efek daripada virus Covid-19 yang menjangkiti saya sebelum ini.
“Selepas melakukan pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan saya menghidap kanser limfoma tahap dua.
“Isteri saya cukup terpukul dengan kenyataan tersebut kerana saya orang yang menjaga kesihatan dan tidak pernah menghidapi sebarang penyakit kronik sehingga usia 48 tahun ini,” kata Ari.
Sehubungan itu, Ari akan menjalani rawatan kimoterapi di Singapura tidak lama lagi.
“Saya akan melakukan pemeriksaan menyeluruh dan akan menjalani rawatan kimoterapi di Singapura. Sama ada kanser sudah tersebar ke bahagian lain atau tidak, saya tetap perlu lakukan kimoterapi.
“Memang saya bimbang akan botak, tetapi sudah bersiap sedia dengan rambut palsunya nanti,” ujar Ari sambil ketawa.
Dalam pada itu, Ari juga menerangkan keluarga sebelah ibunya memang mempunyai sejarah penyakit kanser. Malah, dua orang kakaknya merupakan bekas pesakit kanser payudara tahap tiga dan empat.
“Saya takut tetapi dalam masa sama menerima ujian daripada Tuhan dengan hati terbuka. Sepanjang beberapa tahun ini, banyak kejayaan sudah saya kecapi daripada segi karier.
“Jadi sudah masanya mungkin untuk diuji. Jangan kasihani saya, doakan saya segera sembuh. Saya yakin, saya pasti akan terus hidup dan sembuh,” ucap Ari lagi. – K! ONLINE