fbpx

KASA tetapkan 10 sasaran buktikan pencapaian awal 100 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Ibrahim

PUTRAJAYA – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menetapkan 10 sasaran utama bagi membuktikan pencapaian awal ditetapkan Perdana Menteri dalam tempoh 100 hari.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, 10 sasaran utama telah dikenal pasti dan akan menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada semua Ketua Jabatan di KASA.

Beliau berkata, sasaran itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sektor alam sekitar serta sektor air dan pembentungan.

“Bagi sektor alam sekitar, kementerian menyasarkan untuk menggubal kerangka Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, menggubal struktur asas Pusat Inventori GHG Negara dan membangunkan rangka kerja skim perdagangan karbon domestik.

“Selain itu, kami juga akan melancarkan Hala Tuju Pengekalan Plastik dan melancarkan Portal Pekerjaan Hijau bagi menjana peluang pekerjaan dalam sektor pertumbuhan ekonomi hijau,” katanya pada Majlis Amanat Menteri secara maya di aplikasi Zoom hari ini.

Katanya, bagi sektor air dan pembentungan pula, kementerian akan merancang membangunkan mekanisme penetapan tarif air yang adil dan telus serta mewujudkan lima kawasan baharu bagi projek wakaf air.

Tuan Ibrahim berkata, kementerian juga akan meluaskan penggunaan sumber air pulih guna untuk industri, meluaskan kawasan liputan bekalan air dan pembetungan selain meningkatkan kadar rizab margin air nasional.

“Saya memandang serius perkara ini dan tempoh 100 hari pertama adalah sangat kritikal bagi menetapkan halatuju KASA dengan lebih jelas.

“Sebenarnya tugas dan peranan KASA amat banyak. Selain daripada 10 sasaran utama itu, kita juga tetap melaksanakan fungsi rutin biasa seperti menguatkuasakan undang-undang pencegahan pencemaran,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI