fbpx

Nak menangis, Noorkhiriah kini ada 4 van jenazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOOR KHIRIAH

PETALING JAYA – Pejam celik, sudah setahun lebih usia Pertubuhan Amal Nur By Khiriah yang diusahakan oleh pelakon Noorkhiriah bersama suaminya, Azfaizul Ahtan.

Badan amal yang memberi bantuan pengurusan jenazah secara percuma itu bermula dengan hanya satu van jenazah yang pada asalnya adalah kenderaan pelbagai guna milik pasangan tersebut.

“Bila kenang balik, rasa hendak menangis, seperti mimpi buat semua ini. Bermula dengan borak-borak dengan suami pada Perintah Kawalan Pergerakan 1 (PKP1).

“Kemudian, keluarkan duit ASB (Amanah Saham Bumiputera) untuk tukarkan kereta jadi van jenazah, tiba-tiba sudah setahun lebih @pertubuhanamalnurbykhiriah,” tulis pelakon drama Nur itu menerusi Instagramnya semalam.

Dalam pada itu, Noorkhiriah atau nama sebenarnya, Noorkhiriah Ahmad Shapie, 42, menjelaskan, pada awalnya dia turut berasa bimbang untuk menggerakkan pertubuhan amal tersebut.

Hal ini kerana, pertubuhan tersebut memberikan perkhidmatan menguruskan jenazah bermula daripada kain kafan sehinggalah dibawa ke tanah perkuburan secara percuma.

“Allahuakbar, kemudian suami beritahu jangan risau, kita jalan saja, pasti ada rezeki.

“Bagaimana mahu bayar penyelenggaraan kereta kalau rosak, minyak dan tol lagi, sebab suami memang buat @pertubuhanamalnurbykhiriah percuma.

“Mandi, kafan, solat sampai hantar ke tanah perkuburan, tidak perlu bayar walau sepuluh sen,” tulis Noorkhiriah lagi.

Sungguhpun begitu, ibu kepada dua orang anak itu bersyukur kerana usaha murninya dipermudahkan, malah rezekinya semakin melimpah-ruah.

“Daripada satu van jenazah, tiba-tiba jadi dua dan kini sudah ada empat. Dua daripadanya adalah hasil infak. Baiknya Allah, dipermudahkan dari mula sampai sekarang.

“Ditambah ada yang tidak putus-putus menyumbang. Dari satu kes ke satu kes, pelbagai cara kematian. Sampai saya tidak berani buka galeri gambar suami,” tulisnya.

Noorkhiriah mengharapkan orang ramai terus mendoakan usahanya dipermudahkan agar dapat membantu lebih ramai orang pada masa akan datang.

“Doakan usaha kami dipermudahkan untuk membantu mereka yang memerlukan tidak kira tua, muda, miskin dan kaya. Sampai ke tanah kubur kami hantar, kami akan bantu, itu janji @pertubuhanamalnurbykhiriah,” tulis Noorkhiriah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI