fbpx

Club Mickey Mouse platform asah bakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERISSA (kanan), Faiz (dua dari kanan) dan Gabriel (duduk, tiga dari kiri) menjadikan Club Mickey Mouse sebagai platform terbaik mereka mengasah bakat seni dalam diri.

PETALING JAYA – Selepas empat tahun bersama program popular Club Mickey Mouse, tiga Mouseketeers, Erissa, Gabriel dan Faiz menyifatkan program tersebut lebih daripada sebuah program kanak-kanak.

Menurut mereka bertiga yang merupakan Mousekeeteers asal Club Mickey Mouse Malaysia sejak 2017, program tersebut merupakan platform terbaik mengeluarkan potensi diri dan mengasah bakat seni.

“Club Mickey Mouse sangat besar ertinya pada saya. Hal ini kerana, selain membesar bersama program ini, saya juga dapat mengasah bakat seni.

“Dalam program ini kami bukan sahaja perlu menjadi pengacara, tetapi berlakon, menyanyi dan menari.

“Secara tidak langsung, program ini merupakan platform persediaan sebelum saya melangkah lebih jauh dalam bidang seni,” ujar Erissa yang berusia 18 tahun.

Begitu juga dengan Gabriel , 20, yang mempunyai impian untuk bekerja di belakang tabir bagi sebuah karya pada masa depan.

“Program ini memberi keyakinan yang saya mampu melakukan semua perkara. Sepanjang menjadi Mouseketeers saya bukan saja belajar menulis lagu, tetapi juga skrip dan memahami kerja-kerja di belakang tabir,” kata Gabriel.

Sementara itu, Faiz, 19, menjelaskan, Club Mickey Mouse adalah platform terbaik buatnya membuat persediaan untuk bergelar seorang penyanyi.

“Saya amat meminati bidang muzik dan telah banyak menulis lagu sendiri. Selepas tidak lagi bergelar Mouseketeers, mungkin saya akan memberi fokus pada bidang nyanyian dan penciptaan lagu,” tutur Faiz yang telah bersama program tersebut sejak berusia 15 tahun.

Antara selebriti yang pernah menjadi Mouseketeers sebelum mereka terkenal di seluruh dunia ialah Britney Spears, Justin Timberlake, Ryan Gosling, Christina Aguilera dan JC Chasez (Nsync) dan Keri Russell.

Selain mereka bertiga, Club Mickey Mouse turut menampilkan empat lagi Mouseketeers iaitu Ellya Wafiy di samping dua wajah baharu, Melynna dan Eriq selaku Head Mouseketeers.

Menariknya, Club Mickey Mouse musim keempat buat julung kalinya ditayangkan secara eksklusif menerusi platform penstriman Disney+ Hotstar sejak 28 Julai lalu.

Pelbagai pembaharuan dibuat dalam program sebanyak 13 episod tersebut termasuklah menjemput ramai selebriti terkenal sebagai tetamu undangan antaranya, Alif Satar, Sean Lee, Nabil Mahir, Elaine Daly, Sarah Suhairi, De Fam, Alyssa Dezek, Dr. Faiz Khaleed (angkasawan Malaysia) dan Cheong Jun Hoong (atlet terjun negara). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI