KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ebit Lew dilakukan susulan laporan polis yang dibuat oleh beberapa individu yang mengaitkan pendakwah terkenal itu dengan dakwaan gangguan seksual.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, siasatan dibuat selepas polis menerima laporan yang dibuat individu tertentu yang tidak boleh didedahkan identitinya.
“Kita (polis) siasat bergantung kepada laporan yang diterima.
“Setakat ini, pegawai penyiasat kes daripada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) sudah merakam keterangan individu tersebut termasuk beberapa orang saksi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, pasukan penyiasat telah membuat kerja-kerja penggeledahan di kediaman Ebit dalam usaha mencari bahan bukti bagi membantu siasatan.
“Penggeledahan untuk mendapatkan bahan bukti merupakan antara prosedur yang perlu dilakukan pihak polis dalam melengkapkan kertas siasatan,” ujarnya.
Berita berkaitan: Ini satu fitnah yang sangat kejam
Berita berkaitan: Ebit sahkan hadir sebagai saksi
Katanya, siasatan akan diteruskan sehingga pihak polis berpuas hati untuk merujuk kes itu kepada Jabatan Peguam Negara bagi arahan selanjutnya.
“Pihak kami memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan kes ini dapat disiasat dengan telus.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang penyebaran apa jua bahan yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis,” katanya.














