fbpx

Penjawat awam kekal bebas, neutral – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memberi jaminan bahawa penjawat awam akan kekal bebas, tanpa dipengaruhi sebarang ideologi politik.

Presidennya, Adnan Mat berkata, penjawat awam juga akan meneruskan khidmat menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah payung institusi diraja.

Beliau berkata, perkhidmatan awam adalah tonggak kepada pentadbiran kerajaan dan perlu bertindak secara profesional.

“Penjawat awam perlulah bijak mendepani cabaran dan memberi tumpuan kepada pengurusan risiko bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas terutama dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.

“Walaupun kerajaan datang dan pergi bersilih ganti, perkhidmatan awam tetap kekal setia dalam neutraliti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, Adnan turut berharap agar kerajaan baru yang dibentuk dapat terus menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

“Walau apa jua kerajaan yang memerintah, adalah menjadi tanggungjawab untuk memberi keutamaan kepada rakyat dan negara terlebih dahulu daripada kepentingan lain.

“Penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan berkualiti dan berkesan untuk rakyat serta negara bersandarkan, taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI