PUTRAJAYA – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menunjukkan perkembangan awal positif dengan penurunan bilangan kes kategori tiga hingga lima di tiga negeri meliputi Negeri Sembilan, Sarawak dan Selangor selain kesemua tiga Wilayah Persekutuan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan liputan dos lengkap vaksin Covid-19 bagi populasi dewasa 18 tahun dan ke atas bagi negeri dan Wilayah Persekutuan berkenaan telah melebihi 40 peratus.
Bahkan beliau berkata, buat pertama kalinya, tidak ada kes jangkitan baharu Covid-19 yang dilaporkan di Labuan semalam dengan data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) bagi hospital juga menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang bertambah baik.
“Contohnya, purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang juga telah menurun.
“Pada 31 Julai, purata sehari pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan adalah 909 orang dan jumlah itu menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos hasil perancangan rapi kerajaan dan pelaksanaan strategi oleh KKM serta kesan vaksinasi,” katanya dalam kenyataan pengumuman kemudahan sektor ekonomi kepada individu lengkap divaksin hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau berharap trend penurunan sama dapat diteruskan untuk mengurangkan beban kes Covid-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU) yang memerlukan rawatan lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa. -K! ONLINE














