BAGI menampakan hiasan dan dekorasi rumah lebih menarik, pelbagai konsep diambil oleh pemilik rumah, terutama yang masih bujang dengan mengadaptsi gaya maskulin.
Biarpun nampak sedikit ringkas, tetapi kalau kena dengan gaya dekorasi sesuatu ruang dalam kediaman, ia kelihatan seolah-olah mendapat sentuhan mewah dan eksklusif.
Selain itu, untuk konsep tersebut, ia perlu banyak bermain dengan pencahayaan dan warna bersesuaian seperti coklat dan kelabu untuk membangkitkan aura kediaman seperti berada dalam hotel.
Penggunaan rona gelap, gabungan elemen kaca, kayu dan fabrik kulit juga penting bagi mendapatkan sentuhan maskulin.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
CIRI maskulin tidak hanya dikhaskan untuk gaya atau perkara tertentu sahaja, tetapi juga boleh menjadi tema menghias kediaman bagi mencerminkan keperibadian serta personaliti pemiliknya.
Tidak salah untuk mencuba konsep berbeza daripada kebiasaan dengan memberi penekanan kepada elemen maskulin yang lebih ‘segak’, eksklusif serta tampak mewah.
Baru-baru ini, Arif Latif Deco Design merealisasikan hasrat seorang pemilik rumah yang menginginkan konsep maskulin sesuai dengan dirinya seorang lelaki bujang dan berusia 40-an.
Rumah teres dua tingkat itu melalui proses pengubahsuaian dan dekorasi yang dilakukan sepenuhnya oleh Arif Latif Deco Design dengan memperuntukkan masa sekitar sebulan serta menelan kos lebih RM100,000.
Menurut pemilik syarikat rekaan dalaman tersebut, Muhammad Arif Deco Abd. Latif, dia menggunakan rona gelap, gabungan elemen kaca, kayu dan fabrik kulit untuk memberi sentuhan maskulin.
“Bagi dekorasi di ruang tamu, saya menggunakan kaca berona hitam berkilau untuk keseluruhan dinding utama dan kerusi berwarna coklat daripada material kulit.
“Di samping rona gelap, saya juga menggabungkan bersama warna-warna bumi seperti coklat dan kelabu,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Dalaman, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

Di ruang makan pula, Muhammad Arif menggunakan dekorasi yang ringkas, tetapi kemas dengan menggunakan set meja kayu untuk enam orang dan dihiasi dengan lampu candelier berbentuk bulat.
Konsep ringkas dan rapi itu turut diterapkan di ruang dapur yang mana di situ terdapat dua bahagian iaitu dapur kering dan basah.
Dalam pada itu, bilik utama pula menggabungkan elemen maskulin dengan bercirikan hotel yang lebih menenangkan.
“Sesuai dengan permintaan pemilik, kami bermain dengan pencahayaandan warna untuk membangkitkan aura hotel.
“Kebiasaannya, di hotel lampunya sedikit malap begitu juga permainan rona gelap. Maka, saya memilih olahan warna coklat gelap serta cair,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Menariknya, balkoni berdekatan bilik utama itu telah diubah suai untuk dijadikan pejabat bagi memudahkan pemilik menjalankan tugasnya ketika bekerja di rumah.

BILIK tidur utama digabungkan dengan balkoni untuk dijadikan pejabat mini.
Pejabat mini itu digabungkan bersama bilik tidur utama lantas memudahkan pemilik untuk bekerja tanpa perlu pergi jauh.
“Bilik tidur utama ini tidak terlalu sarat dengan perabot dan antara kelengkapan yang disediakan ialah katil bersaiz queen, televisyen, meja solek dan almari baju,” jelasnya.














