fbpx

4 lelaki termasuk 2 beradik didakwa membunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga daripada empat tertuduh ketika dibawa ke Mahkmah Majistret di sini hari ini.

KAJANG – Empat lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di tepi jalan di sini dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh iaitu Gian Tin Siong, 48, dan adiknya, Gian Then Seng, 46, serta dua lagi lelaki iaitu Tan Kok Leong, 53, dan Ngh Wai Seng, 45, selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa membunuh Lim Chau Ching, 36, di tepi jalan di Jalan Puteri Satu, Cheras di sini pukul 6.45 petang pada 2 Ogos lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Tiada jaminan dibenarkan dan mahkamah kemudian menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairul Iqram Hairuddin, manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, dalam prosiding sama, keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang lagi lelaki Yap Siew Kin, 49, pada tempat, waktu dan tarikh sama yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Kosmo! 3 Ogos lalu melaporkan pergaduhan sekumpulan lelaki berakhir dengan tragedi apabila seorang lelaki maut dipukul dan ditikam dengan pisau di tepi jalan kawasan Taman Taragon Puteri, Batu 9 Cheras, dekat sini. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI