fbpx

‘Sumbat kami dalam penjaralah senang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ramai rakyat Malaysia terkedu menyaksikan angka harian Covid-19 melepasi 20,000 kes untuk kali pertama dengan 20,596 jangkitan baharu dilaporkan hari ini.

Kebanyakan mereka menyuarakan keresahan dengan penularan wabak yang terus mengganas tanpa menunjukkan tanda-tanda penurunan.

Tidak kurang juga yang mendesak kerajaan mengubah strategi serta pendekatan bagi mengawal jangkitan Covid-19 yang dilihat semakin kritikal.

“Jika beginilah, kita akan mengambil masa terlalu lama untuk menang. Strategi memeranginya di takuk lama, tiada pengubahsuaian. Penguasa berebut kuasa, rakyat menderita. Kita berada di lautan yang sama, tetapi di atas kapal persiaran, bot biasa, sampan dan tongkang yang berbeza,” ujar AK Lintau.

“Sudah ramai yang divaksin. Kes semakin tinggi pula. Daripada duduk, meniarap, menelentang, semua sudah buat di rumah. Gaya bagaimana lagi perlu duduk di rumah untuk bagi kes turun,” kata Lynn Abd Rahman.

“Semakin lama kena kurung semakin tinggi kes. Cakap selepas dua minggu kes turun. Aku tidak pernah rasa begitu kecewa begini. Apa tindakan susulan selepas ini? Kilang tidak mahu juga tutup,” ulas Sue Nieza.

“Sekarang tutup kilang pun sudah tidak berguna. Ini kes bukan lagi 3,000 atau 4,000 tapi sudah mencapai 20,000. Lagipun rakyat sudah betul-betul bosan dan benci Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” balas Majidee Dee.

Ada juga yang berkongsi rasa putus asa serta merayu untuk pulang ke kampung halaman dan menyifatkan mereka sudah tidak dapat bertahan dalam situasi yang amat meruncing sekarang.

“Sudah tidak mampu berkata apa-apa lagi. Izinkanlah kami berkampung dengan keluarga masing-masing supaya senang jenazah kami diuruskan oleh keluarga kami sendiri. Hanya di kampung kami berasa selamat. Di bandar seakan sudah hendak kiamat,” tulis Wan Rongak.

“Sudah sampai 20,000 tolonglah kerajaan, buat sesuatu. Serupa macam tiada sesiapa yang menjaga keselamatan negara. Kami sudah penat di rumah,” luah Daniel Kazuto Chan.

“Nampaknya, semakin lama agaknya kita akan dikurung. Semakin banyak tunggakan hutang dan bil sewa semua. Sesak nafas tengok angka itu,” komen Nana Yuttai.

“Sumbat kami semua dalam penjaralah senang. Makan semua percuma. Tidak perlu bayar bil elektrik dan air,” sindir Mohd Falzil.

Tidak kurang juga yang mempersoalkan usaha memerangi Covid-19 seperti PKP yang dilihat seolah-olah tidak membuahkan hasil sebaliknya membuatkan rakyat semakin berasa terhimpit dan tertekan.

“Tujuh bulan darurat PKP 2.0, PKP 3.0, ‘total lockdown’ rakyat terkurung sampai angkat bendera putih tetapi kes tetap juga naik setiap hari sampai sudah lebih sejuta positif ribuan jadi korban. Ini hendak kata gagal atau masih belum berjaya?,” soal Nasir Al Hakim.

“Semakin dikurung, semakin jaga prosedur operasi standard (SOP) makin ramai sudah diberi vaksin kes semakin naik tidak mahu lagi turun-turun. Apa lagi usaha yang perlu dibuat,” tanya pemilik akaun bernama Hajah Paridah Hassan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI