fbpx

Generasi Z pilih perbankan Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lebih daripada separuh pengguna Muslim global daripada golongan milenium dan generasi Z bakal memilih perbankan Islam sekiranya lebih mudah diakses, menurut laporan daripada platform perbankan awan, Mambu.

Laporan hasil kaji selidik melibatkan 2,000 pengguna Muslim berusia muda di seluruh dunia itu mencerminkan permintaan lebih meluas bagi perkhidmatan perbankan yang lebih beretika selepas pandemik.

Ia juga seiring dengan trend pengguna kini lebih cenderung untuk membuat pilihan yang lebih lestari dan memanfaatkan masyarakat.

Berdasarkan kajian Mambu, 74 peratus responden menyatakan mereka mahu bank membuat pelaburan yang selari de­ngan kepercayaan agama mereka, manakala 75 peratus mahukan bank membuat pelaburan yang mampu mendatangkan kebaikan kepada dunia.

Bagi penyataan lebih spesifik, 62 peratus tidak mahu bank mereka memberi pinjaman kepada syarikat tembakau dan 69 peratus berpendapat adalah lebih baik sekiranya bank tidak memberi pinjaman kepada institusi perjudian.

Ketua Pegawai Pelanggan di Mambu, Elliott Limb berkata, pengguna muda kini menuntut kepada perubahan oleh institusi perbankan untuk mengamalkan kewangan Islam.

“Penyelidikan kami menggambarkan bagaimana trend perbankan Islam mencerminkan permintaan besar terhadap amalan perbankan beretika.

“Melalui 1.9 bilion umat Islam global yang tidak menerima perkhidmatan perbankan sepenuhnya, maka jelas menunjukkan bahawa terdapat peluang besar bagi perbankan Islam dan konvensional untuk memberikan penyele­saian yang sesuai bagi memenuhi kehendak pengguna moden,” katanya dalam satu ke­nyataan.

Sementara itu, Pengurus Besar Mambu di Malaysia, Kevin Pu berkata, sebanyak 79 peratus ­responden dari Malaysia ­menyatakan bahawa penting bagi mereka untuk mengakses perkhidmatan kewangan Islam secara online atau melalui aplikasi, manakala dua per tiga menyatakan mereka tidak berminat sekiranya bank tidak dapat menawarkan perkhidmatan online.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya bank dan institusi kewangan di Malaysia menawarkan produk dan perkhidmatan patuh syariah melalui saluran digital.

“Tinjauan Mambu turut mendapati golongan Muslim muda mempunyai tahap ke­puasan yang tinggi terhadap bank sedia ada mereka sekarang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI