Oleh EDDY HAMIDI, NUR SHARIEZA ISMAIL, ABDUL RAZAK IDRIS dan ISWAN SHAFIQ ISA
PETALING JAYA – Sembilan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang semalam dibanjiri ribuan rakyat berusia 40 tahun ke atas dan golongan komorbid selepas program imunisasi pertama Covid-19 dibuka secara walk-in atau jumpa terus semalam.
Tinjauan Kosmo! mendapati mereka sanggup hadir lebih awal untuk mendapatkan suntikan berharga tersebut meskipun program berkenaan hanya bermula pada pukul 2 petang.
Antara lokasi yang menjadi tumpuan ialah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA, Kajang, Klang, Sabak Bernam dan Serendah.
Rata-rata pengunjung berpendapat cara berkenaan adalah yang terbaik pernah dilakukan kerajaan kerana memberi peluang kepada mereka yang masih belum mendapat tarikh janji temu atau tiada aplikasi MySejahtera.
Di Kajang, seorang penerima, M. Christopher, 42, berkata, dia pergi seawal pukul 12.30 tengah hari di PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) kerana tidak mahu beratur panjang selepas dimaklumkan oleh rakannya mengenai program tersebut.
“Saya tidak pernah mendaftar kerana telefon bimbit saya tidak menyokong aplikasi MySejahtera. Proses vaksinasi berjalan lancar dan pantas,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada 31 Julai lalu mengumumkan tentang pelaksanaan pemberian vaksin secara jumpa terus bermula semalam.
Program berkenaan menumpukan kepada individu berusia 40 tahun ke atas dan golongan komorbid (kumpulan berisiko tinggi untuk mengalami kesan yang teruk daripada Covid-19 sekiranya dijangkiti) di sekitar Lembah Klang.
Sementara itu, seorang suri rumah, Adila Mat Ramli, 58, berkata, dia hadir selepas tidak tahan lagi menunggu untuk mendapatkan tarikh janji temu sejak sebulan lalu melalui aplikasi MySejahtera.
“Saya risau bila lihat orang terlalu ramai bila tiba pada pukul 3 petang, namun tidak sangka proses itu tidak lama dan dapat suntikan 20 minit kemudian,” katanya.
Pengurus PPV BACC, Dr. Mahani Pardan berkata, seramai 814 orang telah mendapat suntikan vaksin pada hari pertama semalam.
“Kami sasar 1,000 orang akan disuntik sehari dan jumlahnya dijangka meningkat pada hari-hari seterusnya,” katanya.
Di Sepang, seramai 200 orang hadir di PPV Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA. Mereka menyifatkan konsep jumpa terus itu tepat pada masa kes jangkitan sedang tinggi ketika ini.
“Saya sepatutnya sudah divaksin tetapi ditangguh kerana perlu kuarantin sehingga 21 Julai lalu. Bila ada peluang ini, saya terus pergi dan prosesnya sangat pantas dan mudah,” kata pemandu lori, Mohd. Razef Mohamad, 43.
Pandangan sama dilontarkan seorang ibu tunggal, Manja Salleh, 46, yang sebelum ini terlepas janji temu vaksin yang diperoleh di Sabak Bernam.
“Bila ia buka di Hotel Movenpick, saya terus pergi kerana dekat dengan rumah di Bandar Seri Ehsan KLIA. Tambahan pula ia secara jumpa terus dan mudah bagi saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelaras PPV itu, Dr. Noraziah Abdul Karim berkata, proses berjalan lancar dengan dibantu lebih 50 sukarelawan dan 40 pegawai perubatan termasuk vaksinator.
“Kita jangka 1,000 individu berusia 40 tahun ke atas dan golongan komorbid disuntik vaksin di sini dalam tempoh empat hari ini,” katanya.

Di Shah Alam, PPV Pusat Konvensyen Ideal diserbu sebaik ia dibuka pada pukul 2 petang.
Seorang penerima vaksin, Shamsuddin Asri, 53, berkata, dia terus ke situ selepas gagal mendapatkan tarikh janji temu sejak Mac lalu.
“Saya mahu vaksin segera kerana kes di Selangor tinggi. Sekurang-kurangnya saya sudah ada perlindungan,” katanya yang menetap di Seksyen 20.
Di Seberang Perai, PPV Dewan Millenium, Kepala Batas dibanjiri warga emas berusia 60 tahun ke atas yang datang untuk mendapatkan suntikan pertama vaksin secara jumpa terus.
“Saya ingatkan lama rupanya tak sampai 10 minit sudah selesai,” kata Salim Saad, 63, yang membawa ibunya, Che Ah Taib, 100, untuk divaksin.
Selain PPV Dewan Milenium, suntikan secara jumpa terus turut dilakukan di Dewan SP Arena di Seberang Perai Tengah, Dewan Serbaguna Jawi di Seberang Perai Selatan dan Pusat Konvensyen SPICE di Bayan Lepas. -K! ONLINE














