fbpx
PIHAK Suspended Meal melantik sukarelawan di lokasi tertentu bagi memudahkan pengagihan bantuan keperluan kepada golongan sasar.

Pelajar UiTM turun bantu mereka terjejas Covid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA 1 Jun lalu, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Ekoran itu, kerajaan hanya membenarkan sektor ekonomi penting dan mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi.

Ini menyebabkan terdapat pekerja dalam sektor tidak kritikal kehilangan pendapatan akibat diberhentikan kerja atau diberi bercuti tanpa gaji sehingga keadaan kembali normal.

Situasi ini membuatkan mereka yang terlibat tidak mempunyai wang bagi membeli barangan keperluan harian terutamanya makanan untuk keluarga.

Malah, ada dalam kalangan mereka terpaksa mengangkat bendera putih bagi mendapatkan bantuan berupa bakul makanan daripada agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam hal ini, salah satu NGO yang aktif memberi bantuan bakul makanan adalah Pertubuhan Bantuan Makanan Malaysia (Suspended Meal) menerusi kempen Bantuan Prihatin Covid-19 (BPC) 2.0 bermula awal Julai lalu.

Suspended Meal merupakan sebuah NGO dianggotai sukarelawan daripada mahasiswa dan alumni Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka.

Pengasas Suspended Meal, Shafezah Abdul Wahab berkata, kempen BPC 2.0 diadakan bertujuan membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19 pada ketika ini.

“Kempen ini merupakan lanjutan daripada BPC 1.0 yang diadakan sepanjang Ramadan lalu.

“BPC 2.0 diadakan selepas melihat ramai orang di luar sana yang terjejas sehingga terpaksa mengangkat bendera putih.

“Sepanjang Julai lalu, kami telah memberikan bantuan kepada 210 ketua rumah di sekitar Lembah Klang seperti Hulu Langat, Ampang, Cheras dan Shah Alam,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

BANTUAN keperluan asas yang diberikan oleh Suspended Meal kepada mereka yang memerlukan adalah seperti beras, minyak masak, telur, tepung, gula dan lain-lain.

Shafezah yang juga pensyarah FKPM memaklumkan, bantuan diberikan kepada para penerima adalah berupa barangan keperluan dapur serta makanan sedia dimakan.

Jelasnya, pihaknya juga mendapat permintaan daripada segelintir penerima yang memohon bantuan tambahan seperti lampin pakai buang serta susu formula.

“Bantuan keperluan asas yang kami berikan adalah seperti beras, tepung, gula, minyak masak, sayur dan ikan kembung 1 kilogram kepada setiap penerima.

“Barang-barang ini kami beli menggunakan duit sumbangan orang ramai. Ada juga barang seperti beras dan ikan disumbangkan individu tertentu,” tegasnya.

Menurut Shafezah lagi, pihaknya melakukan proses pemberian bantuan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan memandangkan negara masih berada di bawah PKP 3.0.

Dia memaklumkan, para pemohon atau wakil perlu berhubung terus dengan sukarelawan dilantik oleh Suspended Meal di setiap kawasan bagi memohon bantuan.

“Pada peringkat permulaan kempen BPC dahulu, para sukarelawan kami turun sendiri ke setiap rumah pemohon bagi menghantar bantuan.

“Memandangkan kes Covid-19 semakin meningkat saban hari, kami mengambil inisiatif mengurangkan pergerakan sukarelawan dengan menggunakan khidmat syarikat penghantaran barang, Lalamove,” ujarnya.

BANTUAN diberikan selepas ramai yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Salah seorang pelajar UiTM yang juga sukarelawan Suspended Meal, Affiq Zukkifle, 25, berkata, dia ditugaskan untuk mencari penerima di sekitar daerah Hulu Langat, Selangor.

Katanya, ramai penduduk di daerah tersebut yang ingin mendapatkan bantuan daripada Suspended Meal sehingga dia tidak menang tangan melayan setiap permintaan.

“Saya ada membuat iklan di media sosial bagi memudahkan orang ramai memohon bantuan.

“Setiap hari sekitar 10 hingga 20orang menghubungi saya bagi tujuan berkenaan.  Paling sedih, ada orang yang telefon untuk memohon bantuan bagi pihak jirannya. Ini kerana, jirannya malu untuk berhubung dan meminta bantuan daripada kami,” ujarnya.

Affiq yang kini melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam jurusan Komunikasi berharap, kempan BPC akan diteruskan serta diperluaskan ke luar Lembah Klang selepas ini.

Jelasnya, ia perlu memandangkan pelaksanaan PKP 3.0 dijangka akan berterusan sehingga akhir tahun ini memandangkan kes Covid-19 tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan.

“Saya sangat berharap kempen ini dapat diteruskan pada bulan-bulan seterusnya. Saya tidak sanggup mengecewakan harapan para pemohon,” jelasnya.