fbpx

Ifedayo arkitek kejayaan Selangor belasah Penang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IFEDAYO muncul wira Selangor apabila meledak dua gol menewaskan Penang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya malam tadi. - Foto oleh SELANGOR FC

KUALA LUMPUR – Penyerang prolifik Selangor FC, Ifedayo Olusegun mempamerkan kelasnya yang tersendiri dalam kemenangan 4-1 ke atas Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam tadi.

Ifedayo bukan sahaja berjaya menjaringkan dua gol tetapi turut memainkan peranan penting dengan merakam dua bantuan jaringan buat The Red Giants.

Lebih menarik, tiga mata itu menyaksikan Selangor kembali berada pada landasan kemenangan selepas gagal melakukannya dalam empat perlawanan terakhir sejak menewaskan Petaling Jaya City FC, 2 Mei lalu.

Ifedayo tidak menunggu lama untuk menghasilkan gol pertama buat skuad bimbingan Karsten Neitzel itu menerusi sepakan penalti pada minit ke-16.

Penyerang import kelahiran Nigeria yang mempunyai kerakyatan Bahrain itu terus menjadi penggerak serangan Selangor apabila melakukan hantaran cantik kepada Danial Asri untuk meledak gol kedua pasukan pada minit ke-49.

Ifedayo sekali lagi tidak mementingkan diri sendiri apabila menanduk bola kepada Sean Selvaraj yang langsung tidak dikawal benteng pertahanan Penang untuk gol ketiga Selangor pada minit ke-57.

Penang harus menyalahkan diri sendiri selepas mensia-sikan deretan peluang untuk bangkit dalam perlawanan itu meskipun memperoleh gol pertama menerusi David Rowly pada separuh masa pertama.

Apa tidaknya, kapten Penang, Endrick dos Santos gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila memilih untuk merembat tinggi melewati palang gol Selangor pada minit ke-62.

Skuad bimbingan Thomas Trucha itu sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti tetapi kali ini percubaan Rafael Vitor lemah dan berjaya ditangkap kemas penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Sebaliknya, Ifedayo yang berjaya menjaringkan gol kedua peribadi sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya Selangor dengan keputusan 4-1 ke atas Penang. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI