JAKARTA – Pesohor media sosial Indonesia, Juy Putri dikenakan hukuman denda berjumlah 12 juta rupiah (RM3,508) selepas didapati bersalah melanggar peraturan sekatan Covid-19 dengan menganjurkan majlis hari lahir di sebuah hotel di Kota Bekasi, Jawa Barat, lapor laman berita Suara.com semalam.
Keputusan tersebut dibacakan oleh Panel Hakim Mahkamah Kota Bekasi dalam satu perbicaraan pelanggaran peraturan sekatan aktiviti masyarakat (PPKM) Darurat yang berlangsung semalam.
“Kamu dikenakan denda sebanyak 12 juta rupiah (RM3,508) atau hukuman penjara selama 20 hari,” kata hakim ketika membacakan hukuman.
Bintang TikTok itu kemudiannya memilih untuk membayar denda setelah mengaku bersalah menganjurkan majlis tersebut yang dihadiri oleh berpuluh-puluh temannya.
“Saya terima semuanya kerana memang saya bersalah.
“Buat masyarakat di luar sana, jangan melakukan kesilapan seperti ini. Sila patuhi penjarakan fizikal dan hindari acara yang melibatkan ramai orang serta patuhi protokol keselamatan,” katanya. – AGENSI