IPOH – Masalah telefon bimbit rosak misalnya tidak boleh berfungsi walaupun setelah butang ‘hidup’ ditekan berkali-kali pasti merisaukan kita.
Bagi ibu bapa daripada keluarga berpendapatan kecil, keadaan ini pasti merunsingkan jika terpaksa membeli telefon bimbit baharu bagi kegunaan anak-anak untuk mengikuti sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Bagi meringankan beban keluarga tersebut, premis Perut.Ipoh–Tech Specialist yang terletak di Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park di sini menawarkan perkhidmatan membaiki telefon pintar secara percuma sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat.
Penasihat Jualan Perut.Ipoh, Arif Fitri Mursalim berkata, kerjasama tersebut dijalankan dengan beberapa orang guru-guru di bandar ini yang akan mengenal pasti pelajar-pelajar daripada keluarga susah untuk dibantu.
Menurut beliau, objektif program tersebut adalah untuk mengurangkan beban kewangan keluarga pelajar untuk membaiki telefon pintar mereka yang rosak tapi masih boleh digunakan sekiranya dibaiki.
“Juruteknik kita akan melakukan pemeriksaan untuk mengenal pasti jenis kerosakan sama ada kecil atau besar, misalnya melibatkan bateri atau litar.
“Seterusnya, pihak Perut.Ipoh-Tech Specialist akan membaiki termasuk menukar komponen jika perlu tanpa perlu mengenakan sebarang kos kepada pelajar tersebut,” ujarnya kepada Kosmo!
Sejak dimulakan bulan lalu, sebanyak 10 telefon bimbit pelajar daripada keluarga susah termasuk golongan miskin bandar telah dibaiki secara percuma dan kos kerosakan yang dibaiki antara RM30 hingga RM100. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929