fbpx

Aksi libatkan Kedah, Kuching City tunda pemain positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AB. GHANI menyambut baik langkah kerajaan membenarkan semula penyokong hadir ke stadium sekali gus mampu melonjakkan industri bola sepak negara selepas terjejas akibat Covid-19.

PETALING JAYA – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan penundaan perlawanan Liga Super melibatkan pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) dan pasukan Liga Premier, Kuching City FC (KCFC) susulan arahan kuarantin terhadap pasukan berkenaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KDA FC sepatutnya turun menentang Petaling Jaya City malam esok sementara KCFC perlu berdepan Johor Darul Ta’zim II pada Rabu nanti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, keputusan untuk menunda perlawanan selepas mendapati beberapa pemain serta pegawai daripada KDA dan KCFC telah dikesan positif wabak Covid-19 menerusi ujian calitan minggu lalu.

Ab Ghani berkata, menurut laporan pasukan-pasukan berkenaan, maklumat tarikh dan tempoh kuarantin yang terpaksa dilakukan dan pemain skuad Helang Merah akan dikuarantin bermula 21 Julai sehingga 3 Ogos manakala KCFC pula akan melalui proses sama pada 24 Julai sehingga 9 Ogos depan.

Bagaimanapun, MFL telah membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar hanya pegawai dan pemain yang positif Covid-19 sahaja dikuarantin.

“Permohonan untuk mengkaji semula Prosedur Standard Operasi (SOP) penganjuran Liga Malaysia telah dihantar melalui KBS untuk pertimbangan KKM dan MKN.

“MFL telah mengusulkan agar hanya pegawai dan pemain yang positif Covid-19 sahaja dikuarantin manakala pegawai dan pemain yang disahkan negatif dibenarkan untuk berlatih dalam pada yang sama meneruskan perlawanan liga seperti yang dijadualkan.

“Sekiranya permohonan ini diterima, pihak MFL boleh menilai semula penundaan jadual KDA dan KCFC ini. Maka, ketika ini kami akan menunggu keputusan permohonan itu sebelum mengumumkan jadual baharu pindaan perlawanan melibatkan dua pasukan berkenaan.

“Saya percaya pihak MKN dan KKM dapat memberikan pertimbangan sewajarnya permohonan itu memandangkan kes yang berlaku setakat ini adalah kecil dan berjaya dikawal dengan ujian pengesanan awal dan SOP ketat Gelembung Sukan bagi Liga Malaysia.

“Jika kita melihat kepada penganjuran liga bola sepak di luar negara seperti di Liga Perdana Inggeris (EPL), LaLiga (Sepanyol), Serie A (Itali) serta baru-baru ini di Euro 2020, kuarantin hanya dikenakan kepada pemain yang positif sahaja manakala pemain lain dibenarkan untuk meneruskan latihan dan bermain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI