PANDEMIK Covid-19 ternyata mengubah norma-norma kehidupan masyarakat bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia pada masa kini.
Sejak pandemik ini menular, perkhidmatan penghantaran makanan menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat dan industri itu semakin berkembang seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Ini disebabkan, risiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 di khalayak ramai ketika makan di restoran adalah tinggi dan rakyat dinasihatkan untuk membeli makanan secara bungkus.
Khidmat penghantaran adalah jalan terbaik ke arah itu bagi mengurangkan risiko tersebut.
Persoalannya, adakah selamat untuk kita menggunakan servis penghantaran makanan seperti ini dan adakah kita mempunyai risiko untuk mendapat jangkitan melalui pembungkusan makanan atau hidangan disediakan orang lain?

Di sini saya ingin menghuraikan persoalan yang selama ini bermain di minda kita selama ini.
Dalam konteks ini, pengusaha makanan adalah pemain paling penting yang boleh mengambil langkah langkah perlu bagi mengurangkan risiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 kepada diri dan pelanggan.
Beberapa langkah wajar yang boleh diambil oleh pengusaha makanan adalah dengan melakukan proses pembersihan dan sanitasi yang kerap, terutamanya di kawasan yang kerap disentuh.
Pekerja juga perlu diajar mengenai cara-cara untuk mengurangkan risiko daripada mendapat jangkitan Covid-19 seperti penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap.
Selain itu, pekerja juga boleh menggunakan sarung tangan, tetapi haruslah ditukar dengan kerap.
Tangan juga perlu sentiasa dicuci dengan air setiap kali menukar sarung tangan.
Sarung tangan harus ditukar jika mereka memegang perkakas selain makanan seperti membuka pintu, memegang dokumen atau pergi ke tandas.
Pekerja tidak sepatutnya memegang hidung, mulut dan mata semasa memakai sarung tangan.
Perlu diingat, mencuci tangan adalah lagi berkesan daripada memakai sarung tangan, di samping memakai pelitup muka semasa menyediakan makanan.

Dalam pada itu, semua pekerja yang mengalami sakit seperti demam atau mempunyai simptom selesema tidak dibenarkan bekerja dan perlu berjumpa dengan doktor segera.
Ramai yang selalu mengajukan pertanyaan mengenai bilakah pekerja mendapat jangkitan Covid-19 boleh memulakan tugas mereka.
Di sini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mencadangkan supaya semua pekerja yang positif Covid-19 boleh mula bekerja jika simptom yang ada pada mereka hilang.
Mereka juga harus mempunyai keputusan ujian calitan tekak dan hidung iaitu real-time reverse transcriptase-PCR (RT-PCR) negatif dua kali dan paling kurang 24 jam jarak dari ujian pertama.
Di samping itu, majikan juga boleh memastikan jarak sesuai antara pekerja semasa proses penghasilan atau pengendalian makanan iaitu penjarakan fizikal satu meter seperti yang dicadangkan oleh WHO.
Majikan juga boleh menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada semua pekerja dan membuat sistem syif atau pasukan bagi mengurangkan orang bekerja dalam satu masa.
Jika melibatkan pekerja yang menjaga troli membeli-belah, mereka seharusnya bertanggungjawab untuk sentiasa melakukan sanitasi ke atas troli dengan sanitizer alkohol atau chlorine based disinfectants.
Secara umumnya, disinfectant yang mengandungi alkohol iaitu ethanol, propan-2-ol, propan-1-ol sudah terbukti untuk mengurangkan jangkitan SARS- CoV-2 pada konsentrasi 70 hingga 80 peratus dalam tempoh satu minit.
Chlorine based disinfectant juga boleh digunakan untuk membersihkan permukaan.
——————————————————————————————————–
DR.ISKANDAR MIRZA AMRAN ialah Felo Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman, Institut Jantung Negara (IJN).














