Redzuan Abas atau Wan menjelaskan, menjadi rutin hariannya bermain dengan cat-cat kasut untuk merealisasikan permintaan para pelanggannya yang ingin mengubah rupa kasut.
Kepakaran Wan turut dikagumi pengeluar-pengeluar kasut tempatan apabila mereka bekerjasama dengannya dan memberi dirinya peluang untuk berkarya di atas kasut-kasut jenama Voltra, Hikari Riders dan Baekdowh.
Menurut Wan yang ditemui di premisnya di Arena Selera Lindungan, Petaling Jaya, orang ramai akan memintanya menghasilkan karya-karya tertentu mengikut kehendak mereka.
“Ada pelanggan yang mahukan kasut mereka bertemakan animasi Dragon Ball, One Piece dan lain-lain tema lagi, saya akan cadangkan konsep karya berasaskan tema itu terlebih dahulu sebelum kerja dimulakan,” jelasnya.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
SENYUMAN terukir di wajah Mohd. Shahrul Aizan, 30, sebaik sahaja dia menerima kembali sepasang kasut miliknya yang telah diceriakan dengan gabungan beberapa warna.
Pada asalnya, kasut tersebut berwarna putih tetapi dia memilih untuk mewarnakan sepatu itu agar nampak lebih fusion menerusi paduan warna-warna.
“Saya telah memakai kasut putih ini selama enam bulan dan warnanya mula bertukar menjadi kekuningan.
“Saya cuba untuk mencucinya beberapa kali tapi sukar untuk rona kekuningan itu hilang. Oleh sebab itu saya mengambil keputusan mewarnakan sepatu ini agar ia berwajah baharu,” katanya kepada K2.
Untuk berbuat demikian, Shahrul telah menghantar kasutnya itu kepada artis visual yang juga pemilik spa kasut, Ddz.ink, Redzuan Abas, 40, di Arena Selera Lindungan, Petaling Jaya, Selangor yang memiliki kepakaran mewarnakan kasut atau mengubah wajah kasut mengikut kehendak pelanggan.
Shahrul tidak menyangka, kasut putihnya yang sebelum ini kelihatan hambar kini bertukar menjadi begitu eksklusif.
“Saya hanya memberitahu dirinya bahawa saya mahukan kasut yang kelihatan menyerlah dari jauh dan saya membiarkan dia yang pilihkan warna.
“Setelah melihat hasil kerjanya saya amat berpuas hati. Dia telah menjadikan kasut saya ekslusif dan satu sahaja di Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Redzuan yang mesra dengan panggilan nama Wan menjelaskan, menjadi rutin hariannya untuk bermain bersama cat-cat kasut untuk merealisasikan permintaan para pelanggannya yang ingin mengubah rupa kasut mereka.
Bukan calang-calang, kepakaran Wan turut dikagumi pengeluar-pengeluar kasut tempatan apabila mereka bekerjasama dengannya dan memberi dirinya peluang untuk berkarya di atas kasut-kasut jenama Voltra, Hikari Riders dan Baekdowh.
Menurut Wan, selalunya orang ramai yang inginkan kelainan pada kasut masing-masing akan memintanya menghasilkan karya-karya tertentu mengikut kehendak mereka.
“Ramai juga pelanggan yang datang menyuarakan tema yang akan dipersembahkan pada kasut mereka tetapi tanpa ada gambaran spesifik pada kasut, lalu saya akan cuba untuk memberi pandangan dan merealisasikan tema itu.
“Sebagai contoh, ada pelanggan yang mahukan kasut mereka bertemakan animasi Dragon Ball, One Piece dan lain-lain tema lagi, saya akan cadangkan konsep karya berasaskan tema itu terlebih dahulu sebelum kerja dimulakan,” jelasnya yang berasal dari Felda Bukit Kepayang, Bera, Pahang.

Menurutnya, proses untuk menyiapkan sepasang kasut akan mengambil masa seminggu, namun ia juga bergantung kepada tema sesuatu karya. Jika tema itu rumit, masa yang lebih panjang akan diperlukan.
Menjadi kemestian kepada Wan untuk memastikan dia terlebih dahulu berpuas hati dengan hasil kerjanya sebelum kasut itu diserahkan kepada pelanggan.
Ini penting bagi memastikan dia telah melakukan yang terbaik buat para pelanggannya.
Wan menjelaskan, untuk mewarnakan kasut, dia menggunakan cat kasut yang dikhaskan untuk mewarna kasut.
“Cat ini memang khas digunakan untuk mewarna atau melukis sebarang tema pada kasut dan ia bersifat kekal.
“Antara cabaran yang saya hadapi untuk berkarya pada kasut-kasut ini apabila ada pelanggan yang mahu mewarnakan kasut mereka dengan warna yang istimewa. Ini memerlukan saya membancuh warna-warna asas untuk mendapatkan warna yang diingini pelanggan,” jelasnya.
Tambahnya, kebiasaannya dia akan menggunakan kaedah airbrush serta berus untuk mewarnakan kasut-kasut yang dihantar kepadanya.

Menurut Wan, dia menerima kasut daripada pelbagai material untuk diwarnakan atau dilukis dengan corak-corak tertentu. Material itu merangkumi kasut jenis kulit, kanvas dan baldu.
Wan menegaskan, antara material tersebut, kasut jenis baldu yang paling menyukarkannya untuk berkarya.
“Untuk kasut jenis baldu ini saya tidak boleh membuat kesilapan kerana cat yang telah dioles tidak boleh dipadam.
“Oleh itu, untuk kasut jenis baldu saya akan lebih berhati-hati,” terangnya.
Wan berkata, harga yang dia kenakan untuk mengubah wajah kasut adalah serendah RM100. Semakin rumit karya yang ingin diterjemahkan di atas kasut, semakin mahal harganya.
Kongsi Wan, upah yang paling tinggi pernah diambil untuk sepasang kasut adalah sebanyak RM600 apabila ada pelanggannya yang mahu Wan berkarya di atas sepasang kasut bola keranjang milik pelanggan itu.
“Ini adalah antara tugasan yang paling rumit yang harus saya realisasikan dan saya mengambil masa hampir sebulan setengah untuk menyiapkannya.
“Pelanggan ini mahukan saya melukis kasutnya bertemakan Jepun dengan dia kasut sebelah kanan mempunyai warna serta lambang mewakili kebaikan manakala untuk sebelah kiri pula bertema kejahatan,” jelasnya.
Tambahnya, dia gembira apabila pelanggan itu berpuas hati dengan hasil karyanya itu. Sebagai tanda terima kasih yang tinggi kepadanya, pelanggan itu bahkan turut menghadiahkan sepasang kasut buatnya.
Wan juga gembira apabila dia berjaya membantu sebahagian pelanggannya membaik pulih sepasang kasut lama yang pada ‘hukumnya’ perlu dibuang kerana keadaannya yang sudah usang. Tetapi disebabkan kasut itu mempunyai nilai sentimental kepada pelanggan, Wan bersetuju memulihkannya dengan menjadikan itu sebagai satu cabaran sebelum dia berjaya memulihkannya.

Mengimbas kembali bagaimana dirinya berkecimpung dengan aktiviti berkarya atas kasut, Wan menjelaskan semua bermula lebih 10 tahun lalu apabila dia menjadikannya sebagai satu hobi.
Namun, pada tahun 2016 dia telah menjadikan hobi itu sebagai satu kerjaya yang membolehkannya menjana pendapatan menyara keluarga.
“Sebelum ini saya bekerja menjual barangan secara online dan perniagaan yang saya usahakan mengalami sedikit kejatuhan. Atas sebab itu saya mengambil keputusan untuk membuka sebuah spa kasut untuk membaik pulih dan mewarna kasut bersandarkan hobi dan kemahiran yang terpupuk itu.
“Saya bermula dengan hanya menumpang sebuah ruang kecil di tepi jalan di Taman Medan, Petaling Jaya. Saya bersyukur hari demi hari sambutan diterima amat baik sehingga membolehkan saya menyewa sebuah kedai sendiri pada tahun 2018,” jelasnya.
Tambahnya, keputusannya untuk serius dalam bidang itu pada mulanya turut dilempar dengan pandangan negatif sesetengan pihak. Namun, dia bersyukur setelah hampir enam tahun memilih jalan tersebut, rezekinya tidak pernah putus.
Walaupun baru menghampiri tempoh enam tahun menceburi bidang perniagaan itu, Wan berazam mahu pergi lebih jauh selain ingin giat berkongsi ilmu bersama generasi muda yang mempunyai minat sama untuk berkarya di atas kasut.
“Sebolehnya saya mahu menjadi tenaga pengajar yang mendedahkan ilmu ini kepada generasi muda. Inilah antara impian saya. Malahan sebelum ini, saya juga telah berkongsi ilmu dengan empat pelajar dan ada di antara mereka yang berjaya membuka kedai sendiri,” ujarnya.














