fbpx
BIMBANG dengan penularan Covid-19 menjelang Hari Raya Aidiladha, Azza Elite melarang sesiapa sahaja daripada berkunjung ke rumah ibunya yang sudah tua.

Azza Elite haramkan saudara-mara ziarah ibunya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kedengaran mungkin agak lantang, namun penyanyi dan pelakon Azza Elite terpaksa bertegas dengan memberi amaran kepada saudara-maranya dari Selangor dan Kuala Lumpur supaya tidak bertandang ke rumah ibunya di kampung sempena Hari Raya Aidiladha nanti.

Ujar Azza, dia terpaksa bertegas demi kebaikan dan kesihatan ibunya buat masa ini kerana bimbang potensi dijangkiti Covid-19 berpunca akibat aktiviti kunjung-mengunjung.

“Pada saudara-mara dari Selangor dan Kuala Lumpur atau dari mana sahaja yang balik kampung, jangan sesekali anda datang rumah mak saya.

“Awas! Saya haramkan anda datang rumah mak saya ketika ini demi kebaikan dan kesihatannya,” tulisnya dalam satu hantaran yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya.

TANGKAP layar daripada InstaStory Azza Elite.

Ujar Azza atau nama sebenarnya Noor Azzarima Zawari, selain ibunya, dia turut bimbang tentang keselamatan anaknya, Marissa dan pak cik yang turut berada di kampung pada ketika ini.

Kata Azza, dia tidak dapat menghalang saudara-maranya untuk melakukan perjalanan rentas negeri dengan pulang ke kampung, tetapi dia memohon supaya mereka tidak mengunjungi rumah ibunya yang difahamkan terletak di Ipoh, Perak.

“Tolonglah, awak nak balik itu awak punya pasal. Tapi jangan nak bawa balik penyakit dan merayap ke rumah saudara-mara. Jangan ‘gatal’ nak bersalaman bagai,” katanya.

Azza berkata mungkin apa yang dia sampaikan itu kedengaran agak kasar dan tidak manis. Namun dia terpaksa demi memikirkan keselamatan dan kesihatan orang tuanya di kampung.

Sebelum ini, Azza pernah berkongsi kebimbangan tentang situasi Covid-19 yang semakin memburuk menerusi sebuah video sambil menangis teresak-esak.

Ujarnya, dia berasa sangat bimbang dengan keadaan itu lebih-lebih lagi apabila memikirkan semakin ramai rakyat yang meninggal dunia akibat wabak tersebut. -K! ONLINE