fbpx

AS siasat sindrom jangkitan otak diplomat di Austria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai lebih 20 pegawai AS mengalami simptom-simptom yang dikaitkan dengan sindrom Havana di Vienna. – The Byron Review

VIENNA, AUSTRIA – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang menyiasat beberapa siri insiden masalah kesihatan yang melibatkan anggota diplomat dan pekerja pentadbirannya di Austria yang dikatakan mempunyai persamaan dengan sindrom Havana, lapor Badan Penyiaran British (BBC), semalam.

Menurut laporan, lebih 20 pegawai AS mengalami simptom-simptom yang dikaitkan dengan sindrom Havana iaitu sejenis penyakit berkaitan otak, sejak Presiden Joe Biden mentadbir Washington.

Sindrom itu sehingga kini masih tidak dapat dijelaskan, namun para saintis AS percaya ia berkemungkinan besar disebabkan oleh pendedahan sinaran gelombang mikro secara langsung.

Kes-kes di Vienna itu mula didedahkan kelmarin sebelum disahkan oleh Jabatan Negara AS dengan memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut.

Manakala, Kementerian Luar Austria turut mengatakan bahawa pihaknya kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa AS untuk menyiasat insiden itu.

Sindrom Havana kali pertama dikesan di Cuba pada tahun 2016 dan 2017.

Para diplomat AS dan Kanada yang berada di Havana, Cuba, sebelum ini mengadu antara simptom yang dialami adalah termasuk pening, kehilangan keseimbangan badan, hilang pendengaran dan kegelisahan terhadap sesuatu yang disifatkan sebagai ‘kabus kognitif’.

Pada tahun 2019, satu kajian akademik AS mendapati terdapat ‘keabnormalan otak’ dalam kalangan para diplomatnya yang jatuh sakit namun semua laporan itu ditolak oleh Cuba. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN