fbpx

Kehadiran warga emas di PPV MITEC menggalakkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang sukarelawan membantu menolak kerusi roda warga emas yang hadir mendapatkan vaksin hari ini.

PETALING JAYA – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) menerima sambutan menggalakkan daripada warga emas yang datang secara terus atau ‘walk-in’ pada hari pertama, hari ini.

Pengurus PPV MITEC, Dr. Nurul Ashikin Shokri berkata, setakat pukul 12.30 tengah hari tadi pihaknya telah menerima kehadiran 143 warga emas yang berusia 60 tahun ke atas bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Harapan kami supaya imuniti kelompok dapat dicapai lebih awal daripada sasaran. Kami akan berusaha sebaik mungkin agar proses vaksinasi berjalan lancar,” katanya di sini hari ini.

Tinjauan Kosmo! di PPV MITEC mendapati, terdapat laluan dan kaunter khas disediakan untuk memudahkan pendaftaran warga emas dan pergerakan golongan tersebut turut diatur secara sistematik dan tersusun.

Selain itu, terdapat kemudahan ‘buggy’ disediakan di tempat parkir bagi memudahkan pergerakan orang ramai yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV tersebut.

Bagi Chee Kam Seam, 46, yang membawa ibunya, Chee Yow Pheng, 75, keseluruhan proses agak pantas dan hanya mengambil masa kira-kira satu jam.

“Kami sampai pada pukul 11 pagi. Kira-kira pukul 12 sudah siap semua. Ramai sukarelawan yang boleh bantu tunjuk kalau tidak tahu mahu pergi mana atau buat apa,” katanya yang datang dari Bandar Utama, Damansara di sini.

Sementara itu, Hamzah Salih, 61, berkata, dia sudah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera sejak Mac lalu namun gilirannya untuk mendapat vaksin belum tiba.

“Bagus ada program ‘walk-in’ begini kerana boleh terus pergi dan tidak perlu tunggu lebih lama,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI