Baru-baru ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd. Yusof yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perlis dan Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Perlis melancarkan e-buku Rahsia Perlis Perangi Covid-19. Azman berkata, ada yang mengatakan kes jangkitan di negeri ini rendah disebabkan saiz negeri yang kecil.
“Saya menolak perkara itu kerana saiz negeri yang kecil dengan jumlah penduduk hanya kira-kira 254,900 orang sebenarnya bagaikan ‘bom jangka’ kerana ia boleh menjangkiti seluruh penduduk dalam masa singkat jika tidak dikawal dengan baik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kangar baru-baru ini.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
PERLIS boleh dianggap sebagai negeri paling ‘selamat’ apabila mencatatkan kes jangkitan Covid-19 harian terendah sejak pandemik itu mula menular di negara ini pada Februari tahun lalu.
Malah, sehingga kini negeri terkecil itu masih berjaya mengawal penularan Covid-19 apabila mampu mencatatkan sifar kes baharu positif semalam sewaktu jumlah jangkitan harian di seluruh negara melonjak kepada 11,079 kes.
Negeri yang merekodkan kes paling tinggi semalam ialah Selangor iaitu 5,263 kes, manakala negeri berjiran, Kedah pula mencatatkan 497 kes.
Perlis beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 5 Julai lalu bersama empat negeri lain iaitu Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Negeri itu kini hanya menunggu kadar vaksinasi mencapai kira-kira 40 peratus daripada jumlah penduduk yang layak bagi memenuhi kriteria beralih ke Fasa Ketiga PPN.
Kes jangkitan yang rendah dan kerap mencatatkan sifar kes harian juga menyebabkan ada yang cemburu dan berseloroh mahu berpindah ke negeri tersebut.
Baru-baru ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd. Yusof melancarkan e-buku Rahsia Perlis Perangi Covid-19 yang merupakan hasil catatannya untuk berkongsi pengalaman dalam membendung penularan wabak berkenaan.
Azman yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perlis dan Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Perlis berkata, ada yang mengatakan kes jangkitan di negeri ini rendah disebabkan saiz negeri yang kecil.
“Saya menolak perkara itu kerana saiz negeri yang kecil dengan jumlah penduduk hanya kira-kira 254,900 orang sebenarnya bagaikan ‘bom jangka’ kerana ia boleh menjangkiti seluruh penduduk dalam masa singkat jika tidak dikawal dengan baik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kangar baru-baru ini.

Justeru, katanya, perancangan awal dan keputusan tepat serta tindakan pantas oleh kerajaan negeri dalam mengawal sesuatu kes jangkitan di Perlis adalah sangat penting.
“Setiap keputusan termasuk membuka operasi pusat kuarantin di Dewan 2020, Kangar bagi pengasingan individu disyaki dijangkiti seawal Mac tahun lalu secara pantas tanpa banyak birokrasi telah memberi banyak impak kepada kawalan penularan Covid-19 di Perlis,” ujarnya.
Ujar beliau, Perlis juga menjadi negeri pertama yang bertindak pantas memutuskan solat Jumaat diganti dengan solat zuhur di rumah masing-masing di masjid pada 13 Mac tahun lalu.
Ia adalah titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail atas perintah dan perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail atas nasihat Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Fatwa negeri berikutan penularan pandemik.
Kini, ketika banyak negeri lain belum membenarkan solat berjemaah di masjid kerana situasi pandemik yang masih membimbangkan, rakyat Perlis sudah boleh melakukan aktiviti solat berjemaah di masjid sejak 1 Julai lalu.
Menurut Azman, kejayaan agensi keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand dalam membendung penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) juga sangat membantu.
“Pihak polis dan pasukan keselamatan lain yang bertugas di sekatan jalan raya dan membuat pemantauan Op Covid-19 juga banyak membantu dalam memastikan tidak ada individu yang menyelinap masuk ke negeri ini secara haram,” katanya.

Selain itu, kata Azman, kawalan kendiri oleh rakyat negeri itu juga sangat tinggi yang mana pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 22 Januari lalu hingga 4 Februari lalu mencapai 97 peratus.
“Rata-rata penduduk di Perlis ini sangat patuh kepada SOP ditetapkan dan mereka sebenarnya takut dengan penularan wabak ini sampaikan ada yang hubungi saya mengadu sekiranya melihat banyak kereta di Kangar ketika PKP.
“Laporan kes jangkitan harian rendah atau sifar yang diumumkan setiap hari turut menjadi semangat untuk penduduk terus mematuhi SOP,” katanya.
Ujarnya, kehidupan penduduk Perlis yang ringkas dan tidak terlalu bersosial seperti penduduk Lembah Klang turut menyumbang kepada kadar jangkitan rendah.
Malah, menurut Azman, kebanyakan industri juga didapati patuh arahan, malah salah sebuah kilang mempunyai sistem pengasingan pekerja warga asing yang sangat sistematik.
“Pekerja diasingkan berdasarkan kewarganegaraan mengikut lokasi dan warna baju. Jadi bila ada jangkitan, mereka dapat mengasingkan pekerja dengan pantas dan berkesan,” jelasnya.

Tambahnya, perkongsian e-buku itu bukanlah dilakukan untuk membandingkan dengan negeri-negeri lain tetapi sekadar berkongsi pengalaman Perlis dalam memerangi Covid-19 yang mana ia boleh menjadi rujukan mengikut kesesuaian.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob berkata, rakyat negeri Perlis mempunyai rasa tanggungjawab untuk sama-sama memastikan kes jangkitan Covid-19 turun supaya mereka dapat kembali bekerja seperti biasa.
Katanya, ramai yang memilih duduk di rumah sahaja jika tiada keperluan untuk keluar agar rantaian kes Covid-19 dapat diputuskan dengan segera.
“Mereka patuh pada perintah kerajaan dan SOP seperti memakai pelitup separuh muka, penjarakan fizikal dan juga tidak keluar rumah atau merentasi lebih 10 kilometer jika tidak perlu.
“Ini kerana, lebih cepat kes menurun, maka mereka dapat keluar bekerja untuk cari makan sendiri,” katanya.














