fbpx

Di Maria tidak menyangka diangkat wira La Albiceleste

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DI MARIA berjaya meledak gol tunggal perlawanan ketika Argentina berjaya merangkul kejuaraan Copa America 2021 menewaskan Brazil pagi semalam. – AFP

RIO DE JANEIRO – Pemain sayap sensasi Argentina, Angel Di Maria mengakui tidak akan melupakan detik bersejarah selepas menjadi hero buat pasukan dengan menjaringkan gol tunggal untuk menewaskan Brazil 1-0 pada aksi final Copa Amerika 2021 pagi semalam.

Pada saingan yang berlangsung di gelanggang keramat Stadium Maracana itu, Di Maria tenang menjaringkan gol selepas menerima hantaran daripada Rodrigo De Paul pada minit ke-22 untuk menewaskan penjaga gawang Brazil, Ederson.

Kata Di Maria, semangat dan pesanan yang diberikan oleh kap­ten pasukan, Lionel Messi menjadi azimat buatnya untuk memberikan aksi seratus peratus pada aksi final kali ini selepas sering dibelenggu kecederaan pada perlawanan penting Argentina sebelum ini.

“Secara jujur, saya sangat bersyukur dapat melalui pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila menjadi wira untuk pasukan di pentas final kali ini. Selepas wisel penamat, Messi terus mengucapkan terima kasih kepada saya.

“Dia katakan bahawa final kali ini, pasukan bertuah kerana saya dapat diturunkan selepas saingan pada edisi 2016, saya diketepikan kerana kecederaan. Namun, saya akui ucapan terima kasih sepatutnya diberikan kepada Messi.

“Apa yang pasti, saya percaya kejuaraan ini bakal membakar semangat pasukan untuk beraksi dengan lebih cemerlang di pentas antarabangsa selepas ini terutama apabila saingan Piala Dunia akan berlangsung pada tahun depan di Qatar,” katanya yang diiktiraf sebagai Pemain Terbaik Final semalam.

Sementara itu, De Paul me­ngakui pasukan sangat gembira apabila kejayaan itu menyaksikan Messi berjaya menjulang trofi antarabangsa pertama selepas dikritik hebat sebelum ini.

“Sudah tentu Messi tidak boleh menghadiahkan kejayaan secara berseorangan kerana dia perlukan rakan-rakan sepasukan dan kami juga perlukan dia. Apa yang pasti, meraih kemenangan ke atas Brazil di Maracana umpama mimpi menjadi kenyataan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI