fbpx

TM komited penuhi keperluan internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Telekom Malaysia Bhd. (TM) komited untuk memenuhi keperluan internet pelanggan dengan menaik taraf fasiliti dan rangkaian serta menawarkan promosi menarik dan mampu milik.

Ketua Pegawai Komersialnya, Anand Vijayan berkata, perkhidmatan unifi telah menyaksikan prestasi kukuh pada suku tahun pertama 2021 dengan peningkatan perolehan sebanyak 7.5 peratus tahun ke tahun.

“Menuju ke hadapan unifi bakal menawarkan perkhidmatan baharu sebagai pelengkap kepada produk jalur lebar, teknologi Wi-Fi baharu dan rangkaian 5G.

“Ini termasuk penyelesaian inovatif seperti kandungan dan permainan video, keselamatan dan pemantauan, pendigitalan dan perkhidmatan awan serta penyelesaian perniagaan,” katanya dalam taklimat media secara maya semalam.

Menurut Anand, pelanggan unifi kini telah melebihi dua juta dan pihaknya akan memfokuskan kepada penawaran perkhidmatan mudah alih, ketika peranti mudah alih dilihat mewakili 53 peratus daripada akses internet di negara ini, diikuti komputer riba dan komputer peribadi pada 30 peratus.

Tambahnya, pelancaran rangkaian 5G akan turut menghasilkan medan persaingan yang lebih sekata antara pelbagai penyedia perkhidmatan, berbanding perlu bergantung kepada peruntukan spektrum sebelum ini.

“Bagi memberi peluang kepada lebih ramai mendapatkan perkhidmatan jalur lebar terbaik pada harga berpatutan, TM memperkenalkan pelan unifi Mobile tanpa had, buat pelanggan baharunya pada kadar bayaran hanya RM59 sebulan dengan tempoh kontrak selama setahun.

“Selain itu, kami turut menawarkan pelan unifi Mobile dengan data, panggilan dan SMS tanpa had, juga pada bayaran RM59 sebulan tanpa sebarang kontrak buat warga emas dan orang kelainan upaya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI