fbpx

Kerjasama Straits, PDB bekal bahan api marin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Straits Inter Logistics Bhd. (Straits) menerusi anak syarikatnya, Tumpuan Megah Development Sdn. Bhd. (TMD) akan bekerjasama dengan Petronas Dagangan Bhd. (PDB) bagi menyediakan bahan api marin kepada kapal-kapal di semua pelabuhan di Malaysia.

Kerjasama berkenaan memberi sinergi dan nilai tambah kepada kedua-dua belah pihak dengan memanfaatkan barisan kapal dan rangkaian Straits yang meluas, manakala PDB dapat membekalkan bahan api marin kepada semua pelanggannya dalam pelabuhan di negara ini.

Menerusi persefahaman ini, pelanggan PDB dapat menikmati perkhidmatan penghantaran kar­go yang dipercayai, cekap dan selamat melalui prasarana komprehensif Straits dengan prosedur operasi ketat.

Ia juga sejajar dengan inisiatif korporat PDB dalam pengembangan keusahawanan tempatan dan sokongan kepada perusahaan tempatan dalam industri minyak dan gas.

Pengarah Urusan Kumpulan Straits, Datuk Seri Ho Kam Choy berkata, hubungan dengan PDB merupakan satu penca­paian penting buat syarikat dalam menyediakan bekalan bahan api marin kepada kapal-kapal di perairan negara.

“Kami berbangga diberi peluang bekerjasama dengan PDB untuk terus berkembang dan memanfaatkan pasaran bahan api marin di Malaysia.

“Inisiatif ini memungkinkan pengembangan perniagaan yang lebih baik bagi kedua-dua pihak di samping meningkatkan pe­ngalaman pengguna,” katanya da­lam satu kenyataan.

Straits merupakan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan terlibat dalam perdagangan minyak dan perkhidmatan bunker bahan api, pengurusan kapal, operasi dan pengurusan pelabuhan, aktiviti pengangkutan darat dan pelaburan.

Perkhidmatan bunker Straits termasuk pengisian bahan api marin dan minyak gas marin melalui kapalnya ke kapal lain seperti kapal tangki minyak, kapal sokongan luar pesisir, kapal kontena, kapal kargo dan kapal persiaran.

Anak syarikat 70 peratus milik Straits, TMD kini beroperasi di 15 pelabuhan termasuk Pelabuhan Lumut, Pelabuhan Pasir Gu­dang, Pelabuhan Tanjung Pe­lepas, Pelabuhan Johor Bahru, Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Kemaman, Pelabuhan Kuala Te­rengganu dan Pelabuhan Labuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI