fbpx

Sekolah cadang peraturan pelajar wajib senyum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Teece bakal melaksanakan peraturan-peraturan baharu itu kepada para pelajar Kolej John Ferneley bermula sesi persekolahan September ini. – LinkedIn/Kolej John Ferneley

LONDON – Ibu bapa para pelajar sebuah sekolah di Britain menyelar tindakan pengetua sekolah tersebut melaksanakan pelbagai peraturan baharu termasuk murid dikehendaki sentiasa senyum dan meminta kebenaran untuk mengutip pen, lapor akhbar The Sun semalam.

Peraturan yang disifatkan seperti ‘kem penjara’ itu bakal dilaksanakan oleh pengetua baharu Kolej John Ferneley di Leicestershire, Natalie Teece untuk sesi persekolahan bermula September ini.

Antara peraturan lain yang digariskan adalah pelajar perlu memberi respons kepada arahan menggunakan wisel yang diberikan oleh guru serta dilarang menggunakan tandas ketika sesi pembelajaran.

Selain itu, murid perlu duduk dalam keadaan menegak di dalam bilik darjah, sentiasa memanggil guru ‘Tuan’ atau ‘Cik’ dan diwajibkan mengucapkan ‘terima kasih cikgu kerana mengajar’.

Sementara itu, perbuatan berjalan dalam kumpulan melebihi dua orang, melihat ke luar tingkap ketika di dalam kelas dan mengalihkan pandangan ketika terdengar bunyi bising adalah antara yang dilarang sama sekali.

Ibu bapa murid yang yang tidak berpuas hati dengan peraturan itu meluahkan perasaan marah di media sosial. Sebilangan mereka  menyamakan Teece seperti watak Dolores Umbridge dalam filem Harry Potter atau Miss Trunchbull daripada filem Matilda.

“Ini amat mengarut. Saya bersetuju dengan beberapa perkara seperti memberikan penghormatan, namun peraturan lain seolah-olah peraturan di penjara.

“Pihak sekolah perlu ingat bahawa kita masih dalam fasa pandemik dan dunia dalam keadaan kucar-kacir. 

“Ramai kanak-kanak mengalami tekanan mental sekarang dan peraturan sedemikian akan memberi tekanan kepada mereka,” tulis seorang bapa di Facebook.

Bagaimanapun, Teece berkata, dia menerima sokongan padu daripada sebilangan besar ibu bapa.

“Semua peraturan yang dibuat adalah untuk membantu dan menyokong pelajar kami bersiap sedia menghadapi kehidupan pada masa akan datang.

“Kami sentiasa menghargai maklum balas pelajar dan ibu bapa, namun saya yakin semua peraturan baharu itu akan membantu meningkatkan pencapaian cemerlang sekolah ini ,” katanya. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI