fbpx

Perlahankan media sosial, cara Isyariana redakan emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Enggan terkait pengaruh negatif yang akhirnya mampu menjejaskan kesihatan mental, pelakon dan juga penyanyi, Isyariana mengambil pendekatan untuk tidak terlalu aktif dalam media sosial.

Isyariana atau nama lengkapnya Isyariana Che Azmi berkata, dia mengambil langkah sedemikian kerana berasakan media sosial lebih banyak membawa perkara negatif dalam hidupnya, khususnya ketika persekitaran masih dihantui pandemik.

“Saya tidak mahu terlalu terikat dengan media sosial kerana pengaruhnya sangat luas. Ada yang membawa pengaruh positif, tetapi kebanyakannya menjurus kepada perkara negatif.

“Lagi pun saya rasa perkara ini baik untuk saya kekalkan kesihatan minda dan jiwa saya dengan mengurangkan aktiviti dalam media sosial dan lebih fokus untuk memperbaiki diri,” katanya kepada Kosmo! Online.

Disoal tentang perasaan yang dialaminya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu, pemenang Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 2020 itu mengakui tidak terlepas daripada berdepan tekanan kerana tiada pekerjaan.

Dia percaya ramai lagi individu lain turut melalui kondisi sama lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan PKP untuk tempoh yang panjang.

“Sejujurnya saya dan mungkin ramai lagi masyarakat di luar sana agak tertekan menghadapi situasi PKP yang panjang. Sebab kita pun sudah terlalu lama tidak keluar bekerja.

“Saya rindu untuk kembali bekerja, beraksi di set penggambaran dan keluar mencari rezeki. Sudah beberapa bulan saya tidak bekerja, duit simpanan juga akan habis,” katanya.

Bagaimanapun, Isyariana atau lebih mesra disapa Isya menganggap perkara yang berlaku sebagai sebuah ujian agar tidak terlalu memikirkan kehendak peribadi.

“Mungkin ini adalah masa untuk saya muhasabah diri dan memperbaiki diri sendiri dengan lebih memperbanyakkan ibadah,” kata Isya.

Sepanjang tempoh PKP, Isya berkata dia mempunyai banyak masa untuk melakukan aktiviti yang jarang dia dapat lakukan ketika waktu-waktu lain antaranya menambah ilmu dengan memperbanyakkan membaca buku, al-Quran, menghayati sirah Rasulullah dan mendengar majlis-majlis ilmu secara dalam talian.

“Setiap minggu juga saya akan menjalani latihan teater bersama ibu Fauziah Nawi dan akan membuat pembacaan skrip bersama-sama rakan pelakon lain secara dalam talian.

Isya yang kini tampil dengan single baharu berjudul Bisik Hati sejak 6 Jun lalu juga sibuk mempromosikan lagu berkenaan.

“Bertepatan dengan mesej lagu ini yang ke arah bicara kita dengan Tuhan, saya rasa Bisik Hati sangat sesuai dilancarkan ketika PKP ini apabila ramai antara kita yang tertekan dengan keadaan semasa,” katanya. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI