KOTA BHARU – Seorang wanita warga emas maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika sedang berjalan kaki di hadapan sebuah tadika di Kampung Kubang Itik, Jalan Mulong-Limbat di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.40 pagi itu, mangsa, Jamilah Mat, 69, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II ( HRPZ II) di sini tiga jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah selepas membeli barangan di sebuah kedai berhampiran.
Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai telah melintas dari arah kiri ke kanan jalan secara tiba-tiba.
“Insiden itu menyebabkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditunggang seorang lelaki dari arah Mulong ke Limbat di sini tidak sempat mengelak sebelum merempuh mangsa.
“Mangsa tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke HRPZ II dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.40 pagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














