fbpx

Masalah kecederaan kecewakan Belgium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DE BRUYNE (kiri) mengakui dia dan rakan sepasukannya tidak berada pada tahap terbaik untuk mencabar kejuaraan Euro kali ini. – AFP

MUNICH – Perancang tengah Belgium, Kevin De Bruyne meng­anggap masalah kecederaan yang menghantui mereka adalah punca utama tersingkir daripada Euro 2020 selepas tewas 1-2 kepada Itali pada suku akhir di Allianz Arena awal pagi semalam.

Bintang Manchester City itu percaya perjalanan Red De­vils dalam kempen Euro 2020 mampu pergi lebih jauh jika tidak disebabkan kecede­raan dialami Eden Hazard, Ti­mothy Castagne dan Axel Witsel.

Masalah hamstring punca Hazard tidak turun beraksi menentang Itali sementara Cas­tagne pula cuma bermain aksi pembukaan kerana kecederaan mata, manakala Witsel pula belum mendapat tahap kecergasan terbaiknya.

“Secara peribadi, saya meng­anggap kami mengalami terlalu banyak masalah untuk memberikan aksi 100 peratus pada saingan Euro kali ini.

“Saya sendiri masih belum pulih daripada kecederaan koyak ligamen buku lali tetapi pasukan perubatan terpaksa bekerja keras memastikan saya dapat bermain menentang Itali.

“Mudah bagi sesetengah orang mengkritik kami tetapi kami telah memberikan aksi terbaik dalam perlawanan ini. Kami hampir-hampir berjaya menya­makan kedudukan tetapi saya anggap ia bukan tuah kami,” kata De Bruyne.

Justeru, De Bruyne menggesa rakan-rakan sepasukannya supaya bangkit daripada kekecewaan itu dengan mencuba sekali lagi pada Piala Dunia 2022 di Qatar nanti.

Sebagai rekod, dua gol Itali daripada Nicolo Barella dan Lo­renzo Insigne bukan sahaja menyingkirkan Belgium tetapi turut memadam rekod tanpa kalah pasukan ranking pertama dunia itu dalam 13 perlawanan antarabangsa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI