fbpx

KSM terima 1,878 aduan BDR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M. Saravanan.

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima 1,878 aduan menerusi aplikasi Working for Workers (WFW) berhubung majikan tidak membenarkan pekerja bekerja dari rumah (BDR) bagi tempoh 23 Mei sehingga semalam.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, negeri yang merekodkan paling banyak jumlah aduan adalah Selangor (696 aduan), diikuti Kuala Lumpur (505 aduan), Johor (196 aduan) dan Pulau Pinang (123 aduan).

“Dari 1 Jun hingga semalam, 59 kompaun berkaitan ketidakpatuhan kepada kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat atau tempat kerja telah dikeluarkan oleh agensi penguatkuasaan di bawah KSM seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“KSM menerima banyak aduan daripada pekerja bahawa telah diugut oleh majikan untuk hadir bekerja seperti biasa dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka diberhentikan kerja,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, oleh itu, sekiranya pekerja masih diarahkan oleh majikan untuk hadir ke tempat kerja, aduan boleh disalurkan kepada KSM menerusi aplikasi WFW.

“Selain kategori aduan BDR, aplikasi ini juga mempunyai 16 kategori aduan lain membabitkan isu perburuhan. KSM sentiasa memberi perhatian terhadap aduan-aduan yang diterima dan tindakan sewajarnya akan diambil oleh kementerian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KSM mengingatkan majikan untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan
dilaksanakan di mukim-mukim Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur mulai esok hingga 16 Julai.

Katanya, majikan juga digesa untuk mematuhi prosedur operasi etandard (SOP) yang ditetapkan, khususnya dari segi penetapan kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat atau tempat kerja seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu (essential services) tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja di pejabat atau tempat kerja sepanjang tempoh PKPD.

“Justeru, majikan adalah dikehendaki untuk mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja-pekerja BDR,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, KSM juga akan mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan melalui akta-akta di bawah kementerian dan menyeru majikan mematuhi SOP PKPD yang ditetapkan sebagai langkah bersama bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19. -K!ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI