fbpx

Tukang kasut kurung, pukul kekasih didenda RM6,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SELAYANG – Padah mengurung kekasihnya selama enam hari dan mendatangkan kecederaan, seorang tukang kasut didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Yee Lee Shong, 48, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Sekiranya jumlah denda itu gagal dibayar, Lee Shong boleh dipenjara selama lapan bulan dan tertuduh tidak membayar jumlah denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa telah secara salah mengurung seorang wanita berusia 40 tahun selama enam hari di sebuah rumah di Taman Daya Kepong, di sini antara 7 Jun hingga 12 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 343 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan terhadap mangsa sama dan tempat sama pada 7 Jun lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Lee Shong didenda RM5,000 manakala bagi pertuduhan kedua lelaki itu didenda RM1,000.

Terdahulu ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) M. Mariappan memohon hukuman berbentuk denda yang rendah dengan alasan pendapatan tertuduh tidak menentu sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tertuduh bekerja sebagai tukang kasut terpakai, dia bergaduh dengan mangsa iaitu teman wanitanya kerana mangsa tidak pulang ke rumah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana mangsa telah dikurung selama enam hari selain mengalami kecederaan dan digari menggunakan rantai basikal. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI