fbpx
Gambar hiasan

Antara moratorium pinjaman dan i-Citra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
IKHWAN IDERIS, WARTAWAN EKSEKUTIF

PENGUMUMAN bantuan di ba­wah Pakej Perlindungan Rak­yat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu memberi kelegaan kepada banyak pihak.

Paling menarik perhatian pastinya inisiatif yang bakal menyediakan lebihan tunai untuk kegunaan harian seperti bayaran tambahan Bantuan Prihatin Rak­yat, Bantuan Khas Covid-19, pengeluaran i-Citra bagi penca­rum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium.

Berbanding bantuan lain, pe­ngeluaran i-Citra dengan nilai maksimum RM5,000 serta moratorium sedikit berbeza kerana ia atas pilihan rakyat sendiri.

Bagi yang terjejas teruk, sudah tentu mereka akan memohon kedua-dua bantuan itu kerana bukannya selalu bank menawarkan moratorium, manakala pengeluaran wang KWSP juga dobenarkan untuk tujuan tertentu.

Untuk mereka yang tidak terjejas, agak wajar mereka tidak memohon kerana bimbang im­plikasi kewangan yang mungkin dihadapi di kemudian hari.

Bagaimana pula bagi mereka tidak begitu terjejas. Keperluan perbelanjaan bulanan masih melebihi pendapatan tetapi bukan dalam jumlah yang banyak.

Sekiranya perlu memilih, bantuan mana yang patut diambil dahulu, moratorium atau i-Citra?

Jawapannya sudah pasti bergantung kepada keperluan.

Soalan sama penulis ajukan kepada Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff.

Menurut beliau, secara asas­nya, potensi dividen yang diperolehi daripada simpanan KWSP saat ini dilihat lebih tinggi daripada kadar faedah atau kos pinjaman daripada pihak bank.

Jelasnya, ia berpandukan kepada kadar dividen KWSP untuk tahun 2020 pada 5.2 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.9 peratus untuk simpanan shariah.

Kadar dasar semalaman (OPR) yang rendah pada 1.75 peratus pula diterjemahkan kepada kadar pinjaman asas (BLR) rendah oleh bank sekitar tiga peratus tetapi ia tetap bergantung kepada jenis pinjaman.

Ahmed Razman mengakui sesetengah individu lebih selesa mengeluarkan wang sendiri dengan memohon i-Citra berbanding menambah tempoh pembiayaan dengan pihak bank.

“Moratorium ini bukanlah tidak perlu bayar. Tetap akan ada implikasi kewangan buat pe­minjam, misalnya tempoh pembiayaan yang dipanjangkan dan kita tetap perlu melihat kepada caj atau faedah yang mungkin dikenakan pihak bank.

“i-Citra pula akan mengurangkan simpanan persaraan. KWSP memiliki 17 jenis skim pengeluaran simpanan daripada Akaun 2 dan pengeluaran i-Citra mungkin menjejaskan peluang pencarum untuk membuat pengeluaran lain di kemudian hari,” tambahnya.

Akhir sekali, Ahmed Razman menegaskan, individu yang berhasrat memilih moratorium atau i-Citra tetap perlu membuat rujukan dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada bank ber­kenaan perubahan kos pinjaman sekiranya memilih moratorium untuk dibandingkan dengan potensi pulangan dividen KWSP.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz turut menyatakan, “Dari segi faedah yang dikenakan (untuk moratorium), berbincanglah kerana ini antara peminjam dan bank. Jika ditanya kepada saya, saya tidak tahu kerana bank mempunyai skim mereka tersendiri.”

Walau apa pun pilihan, ia diharap dapat membantu mereka keluar dari kemelut sekarang. Implikasi kewangan pada hari-hari mendatang mungkin boleh difikirkan di lain ketika.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR