fbpx

30 ‘persen’ lebih baik daripada berniaga unta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Akhbar ini baru-baru ini menyiarkan beberapa be­rita mengenai keluhan peniaga mengenai caj dikenakan platform hantaran makanan.

Harga yang dikenakan kepada peniaga yang mendaftar di atas platform digital itu ada sehingga 30 peratus berdasarkan harga makanan. Jika nasi goreng mak cik Leha berharga RM10, di atas platform itu harganya boleh mencecah sehingga RM13.

Jadi mak cik Leha pun meletakkan harga RM13. Jika pelanggan datang sendiri ke kedai mak cik Leha, harganya adalah RM10 untuk nasi goreng yang sama. Mungkin segelintir pembeli terutama bukan golongan marhaen, perbezaan RM3 itu amat kecil.

Ada mengatakan celah gigi. Tetapi jika dikira kos keseluruhan ia adalah lebih tinggi. Ini termasuk cukai jualan enam peratus dan kos penghantaran yang boleh mencecah antara RM3 hingga RM6.

Jadi apabila membeli nasi goreng kak Leha secara dalam talian, kos keseluruhan termasuk penghantaran serta cukai jualan boleh mencecah hampir RM20. Itu untuk satu pesanan. Dalam keadaan total lockdown, ramai bergantung kepada perkhidmatan penghantaran dan menjadi sebahagian keperluan masyarakat.

Kehadiran aplikasi penghantaran itu membolehkan lebih 60,000 penghantar makanan diwujudkan, ribuan peniaga seperti mak cik Leha mendapat pasaran lebih luas termasuk dari luar kawasannya dan kesenangan kepada pembeli. Semua ini bagus.

Tetapi jika abang Mat yang mengidam nasi goreng mak cik Leha dan memesan 30 kali sebulan, perbelanjaan meningkat sebanyak RM300 berbanding jika dia menaiki motosikal ‘kapcai’, meluang masa serta mengambil angin untuk ke kedai mak cik Leha.

Jumlah RM300 yang diselamatkan itu bukan kecil jika diambil kira keadaan ekonomi sekarang. Itu baru kedai mak cik Leha. Belum Timah, Kiah, dan bang Non.

Isunya sekarang penyedia aplikasi berkata terdapat kos kepada pembangunan aplikasi dan pengurusan setiap pesanan. Tidak dinafikan terdapat kos dalam semua perniagaan. Semua syarikat teknologi pemula atau startup membuat pelaburan besar.

Tetapi dalam setiap perniagaan pada akhirnya ia mengenai ‘volume’.

Kejayaan syarikat teknologi adalah kerana asas pelanggan. Dan jika ada mengatakan ‘tak menguntungkan’, tiada orang berniaga jika tidak akan mengaut keuntungan.

Syarikat terkaya di dunia adalah Amazon, Alphabet (Google), Tencent (syarikat dari China), Facebook, Alibaba Group.

Kebanyakan syarikat ini tidak memiliki produk fisikal. Yang ada cuma platform untuk manusia bersosial, mencari data, menyimpan data dan melakukan transaksi online.

Keuntungan dicapai berbilion ringgit. Jadi jika ada yang bercita-cita besar, tidak perlu memikirkan menghasilkan teknologi tinggi, kenderaan yang dipacu lebih 4,000 sensors, dron yang boleh membaja secara khusus berdasarkan saiz pokok.

Cuma buat aplikasi dan ambil 30 peratus. Ia lebih baik daripada berniaga unta.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI