fbpx

Jerman cemas sebelum mara ke pusingan 16 terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAI Havertz menjaringkan gol pertama buat Jerman pada perlawanan menentang Hungary yang berkesudahan seri 2-2 pada saingan terakhir Kumpulan F, Euro 2020 di Alliance Arena, Munich sebentar tadi. - AFP

MUNICH – Jerman melangkah ke pusingan 16 terbaik Euro 2020 dengan penuh dramatik apabila berjaya mengikat Hungary 2-2 menerusi jaringan Leon Goretzka pada penghujung perlawanan untuk menyelamatkan pasukan tersebut.

Pada aksi Kumpulan F itu, Hungary mengejutkan pasukan tuan rumah di Allianz Arena apabila terlebih dahulu membuka gol pembukaan seawal minit ke-11 menerusi jaringan cantik Adam Szalai.

Tersentak dengan keadaan tersebut, Jerman mula mengatur serangan bertali arus, namun percubaan mereka pada separuh masa pertama berjaya disekat dek keampuhan benteng pertahanan Hungary.

Masuk babak kedua, bintang tengah Jerman, Kai Havertz berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-66, namun kegembiraan penyokong tuan rumah tidak lama apabila Hungary sekali lagi berada di depan selepas Andras Schafer meledak gol kedua selang dua minit kemudian.

Bagaimanapun, tekanan Jerman akhirnya terlerai apabila pemain gantian, Goretzka yang dimasukkan pada minit ke-58 meranapkan impian Hungary apabila bijak menyudahkan bola tampanan, enam minit sebelum tamat permainan sekali gus memastikan satu mata buat Jerman.

Sebagai rekod, Jerman tidak pernah tersingkir pada saingan peringkat kumpulan kejohanan Eropah tetapi satu mata yang dikutip ketika menentang Hungary memastikan mereka terus melangkah ke pusingan kalah mati.

Skuad Joachim Low pernah tersingkir awal pada Piala Dunia 2018 dan sekali lagi dimalukan selepas tewas kepada Perancis pada aksi pertama Euro 2020.

Skuad Die Mannschaft, yang juga juara Eropah tiga kali itu bakal membuat perhitungan dengan England pada peringkat 16 terbaik di Stadium Wembley, London, Selasa depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI