fbpx

RichWorks sasar 10,000 usahawan capai jualan RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZAN menyampaikan perkongsian dalam program percuma RichWorks secara maya selepas beliau sembuh daripada jangkitan Covid-19 baru-baru ini.

PETALING JAYA – Sempena ulang tahun ke-13 pada 13 Jun lalu, syarikat keusahawanan, Richworks International Sdn. Bhd. (Richworks) menggariskan lima sasaran jangka pendek yang ingin dicapainya menjelang tahun 2023.

Inisiatif syarikat adalah untuk melahirkan sekurang-kurangnya sejuta usahawan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); membimbing minimum 10,000 usahawan supaya mencapai jumlah jualan tahunan RM1 juta; serta memberi sokongan kepada lebih 1,000 perniagaan untuk mencapai jumlah jualan tahunan RM10 juta.

RichWorks turut berhasrat membimbing lebih ramai usahawan dalam mendapatkan dana, khidmat nasihat perniagaan dan konsultasi sehingga melayakkan syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Bhd. serta melahirkan usahawan cemerlang dalam teknologi maklumat dan pendigitalan.

Pengasas Richworks, yang juga merupakan Mentor Usahawan dan Pakar Pemasaran No. 1 Asia, Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, 13 tahun lalu bukanlah satu tempoh masa yang mudah dan ia dipenuhi onak duri silih berganti di sepanjang perjalanan.

Namun jelas beliau, manisnya perjalanan tersebut adalah apabila melihat wajah-wajah mereka yang pernah bernaung di bawah payung syarikat telah berjaya mencapai kejayaan diimpikan dan jenama anak tempatan berjaya dilahirkan sehingga meraih perolehan jutaan ringgit.

“Perusahaan seperti Bougas Beauty, MommyHanna, Mutyara by Tya, Mutiara Jati, Anggun Cotton dan Azdan Quranic Centre misalnya, terus berkembang sehingga sekarang serta membuka pelbagai peluang pekerjaan yang secara tidak langsung memberi khidmat kepada bangsa dan agama.

“Malah, jika diselusuri jalan-jalan utama, pasti dapat dilihat papan iklan jenama ternama Najib Asaddok, Nurraysa, Sabella, Noir, Hasnuri, Faith Fleur dan banyak lagi berdiri megah melambangkan kejayaan masing-masing.

“Semua usahawan didikan kami memberi semangat untuk RichWorks melangkah lebih jauh bagi mencapai sasaran lebih gemilang menjelang dua tahun ke hadapan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Dalam pada itu, Azizan berkata, lima sasaran yang telah digariskan merupakan perancangan jangka pendek syarikat dalam memenuhi matlamat asal penubuhannya yang tidak pernah berubah sejak 13 tahun lalu.

Tambahnya, dalam tempoh hampir dua tahun berdepan dengan kemelut dan cabaran ekonomi akibat pandemik, RichWorks berjaya membimbing ramai usahawan yang telah berjaya mencapai hasil luar biasa.

“Terbaharu, penglibatan saya bersama syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, Manage Pay Systems Berhad (MPay) bakal membuka peluang buat usahawan untuk terus memperkasakan perniagaan mereka menggunakan teknologi dan ke arah pendigitalan dalam sistem perniagaan.

Usaha sama ini adalah untuk memastikan bangsa usahawan kita supaya tidak ketinggalan dari segi teknologi, sekali gus membantu mereka berurusan dengan pelanggan tanpa perlu dibatasi jarak dan waktu dalam suasana norma baharu ini serta keperluan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta penjarakan fizikal.

“Sebenarnya, apa yang penting adalah kepercayaan untuk berubah dan berjaya. Buat mereka yang setia bersama kami selama ini, saya ucapkan terima kasih,” katanya.

Sementara itu, jangan terlepas untuk mengikuti sesi khas bersama beliau secara langsung mengenai RichWorks 13 Tahun: Di Mana RichWorks & Ke Mana Selepas Ini & Apa Ada Pada MPay di semua platform media sosial termasuk Telegram Azizan Osman Official pada pukul 9 malam Ahad (27 Jun 2021).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI