fbpx

PKP, sumbangan, keprihatinan cara selebriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA selebriti tanah air yang turut terpanggil menghulurkan bantuan mengikut acuan dan kemampuan masing-masing kepada golongan terjejas semasa PKP.

KEPUTUSAN kerajaan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu benar-benar meninggalkan impak buat semua.

Masakan tidak, dengan peningkatan jumlah kes harian yang merekodkan lebih daripada 5,000 sehari, situasi tersebut bagaikan tiada kesudahan dan titik noktah kepada polemik pendemik Covid-19.

Tidak dinafikan, lanjutan PKP yang dibuat kerajaan secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada golongan tertentu hingga menjejaskan pendapatan.

Mendengar keluh kesah pelbagai lapisan masyarakat terkesan, segelintir golongan selebriti tidak terkecuali tampil menghulurkan bantuan sekadar termampu.

Ketika pengumuman PKP 3.0 baru-baru ini, pelakon Puteri Sarah tampil memohon sesiapa saja yang terkesan dan tidak berkemampuan untuk menghubunginya dalam Instagram bagi menerima bantuan makanan, berupa set makan tengah hari sepanjang dua minggu pelaksanaan PKP 3.0 sehingga 14 Jun lalu.

PUTERI SARAH

Sarah terpanggil untuk menyalurkan bantuan tersebut kerana dia sendiri pernah menjalani kuarantin dan menerima juadah makanan daripada segelintir peniaga tempatan.

“Saya dibekalkan makanan selama 14 hari sepanjang tempoh kuarantin. Tiba-tiba saya terfikir, daripada diberi kepada saya yang berkemampuan, lebih baik bantuan dipanjangkan kepada golongan memerlukan,” kata Sarah.

Pada masa sama, isteri kepada pengarah Syamsul Yusof itu menyedari, dalam situasi sekarang, sebenarnya ramai golongan susah dan memerlukan bantuan perlu diberi perhatian.

Selain Sarah, pelakon Daiyan Trisha juga tidak ketinggalan tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

DAIYAN TRISHA

Ujar pelakon berusia 28 tahun itu, luahan rakyat dalam media sosial telah menggerakkan hati­nya untuk menghulurkan bantuan.

“Bila saya baca berita me­ngenai mereka yang terkesan, hati saya sangat tersentuh sehingga pening memikirkan keadaan mereka. Tidaklah ba­nyak tapi saya bantu ikut kemampuan,” katanya.

Ujar pemilik nama lengkap Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin itu lagi, dia pernah menerima mesej pelajar universiti dan ada yang meminta dibantu kerana tiada duit membeli susu anak.

Selebriti verstail Elly Mazlein pula menunjukkan keprihatinannya kepada masyarakat yang memerlukan apabila meminta pihak yang betul-betul mahukan bantuan untuk segera menghubunginya menerusi Instagram.

ELLY MAZLEIN

Elly atau lebih mesra disapa Kak Lina Pom Pom, bersyukur kerana diberikan rezeki lebih oleh Allah dan ingin berkongsi rezeki tersebut bersama individu yang memerlukan.

“Cuma satu yang saya minta. Kejujuran. Sesiapa yang memerlukan bantuan boleh mesej saya ya. Insya-Allah saya cuba bantu yang termampu. Saya bantu sikit-sikit supaya ramai boleh merasa,” katanya.

Baru-baru ini, usahawan dan selebriti popular Neelofa turut berbesar hati apabila memberi sumbangan berupa 15 buah katil elektronik bernilai hampir RM100,000 untuk keperluan di Hospital Melaka.

Pemberian tersebut merupakan antara sumbangan pertama yang diusahakan sendiri oleh Neelofa atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap peningkatan kes Covid-19.

“Saya ingin memainkan peranan untuk meringankan beban komuniti dan rakyat Malaysia, sekali gus membantu menangani pandemik ini. Saya harap dengan sumbangan yang kecil dan tidak seberapa ini dapat melancarkan proses pemulihan pesakit Covid-19,” ujarnya.

Seorang lagi selebriti iaitu Datin Paduka Umie Aida dengan kolaborasi bersama Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia tidak ketinggalan menghulurkan bantuan.

Selain sumbangan kepada 300 pemandu teksi yang terjejas, Umie turut menghulurkan sumbangan bernilai RM50 kepada 200 individu yang terjejas akibat Covid-19 bagi membeli barangan keperluan asas.

UMIE AIDA

Bagaimanapun, tidak semua golongan selebriti itu ibarat ‘tidur bertilamkan emas dan bercadarkan intan’ sehingga mampu untuk membantu masyarakat.

Bahkan ada juga segelintir artis turut terkesan dan terjejas. Sebagai contoh pelakon Atikah Suhaime baru-baru ini menerusi Instagramnya mengeluh apabila mengakui dia sendiri tidak mampu memberikan bantuan seperti yang dilakukan rakan selebriti lain.

“Sejujurnya, saya rasa bersalah kerana tidak menghiraukan semua DM (mesej) yang meminta bantuan. Sebab sama seperti kalian, saya juga susah. Macam lagu Whitney Houston, I Have Nothing.

ATIKAH SUHAIMIE

Tidak dinafikan, kadangkala golongan selebriti sering menjadi lapang sasar netizen untuk dikecam atas keberadaan mereka dalam gelanggang seni.

Namun, biarpun tidak semua netizen menggemari dan menghargai keikhlasan golongan selebriti, mereka sedikit pun tidak pernah menyimpan dendam dan terus prihatin untuk memberikan bantuan sekadar termampu atas dasar kemanusiaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI