fbpx

Optimum kadar penggunaan bekalan vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Amzad (dua dari kiri) melihat proses suntikan vaksin Covid-19 kepada seorang penerima di PPV UniSZA, Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Kerajaan menyasar untuk meningkatkan lagi kadar penggunaan bekalan vaksin di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara bagi mencapai sasaran 200,000 suntikan Covid-19 sehari pada bulan hadapan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, setakat ini, kadar penggunaan bekalan vaksin berbeza-beza di setiap negeri iaitu antara 65 dan 92.8 peratus.

“Kadar penggunaan bekalan vaksin tertinggi di Terengganu dengan 92.8 peratus daripada 183,700 dos diterima telah disuntik kepada rakyat.

“Begitupun ada negeri yang diberi 860,990 dos namun masih mempunyai baki 305,254 iaitu 65 peratus kadar penggunaan vaksinnya,” katanya selepas memantau perjalanan hari pertama Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Ahmad Amzad berkata, kerajaan sedang mencari pendekatan terbaik untuk mengoptimumkan bekalan vaksin yang diterima di negeri-negeri bagi memastikan seramai mungkin rakyat menerima suntikan vaksin Covid-19 pada masa terdekat.

Ujar beliau, antara pendekatan yang sedang diteliti ialah melanjutkan operasi PPV di seluruh negara selama 24 jam sehari.

“Begitupun kami faham, ia memerlukan penyusunan sumber manusia kerana petugas (barisan hadapan) juga perlu rehat secukupnya.

“Sehubungan itu, kita sedang meningkatkan bilangan petugas kesihatan yang melakukan suntikan (vaksin Covid-19) seperti dalam kalangan doktor pelatih, doktor pergigian dan pesara doktor,” katannya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI